top of page

LUAS guna dron pantau kawasan sensitif sungai


Gambar hiasan

SUBANG JAYA - Kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kini menggunakan teknologi dron bagi memantau sumber air selain memanfaatkan teknologi itu untuk mengambil sampel dan memberi amaran awal jika terdapat aktiviti mencurigakan.


Projek perintis itu membuktikan kerajaan negeri serius mencegah pencemaran sumber air termasuk penubuhan Skuad Pantas LUAS yang melakukan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, LUAS berjaya mengelakkan tujuh insiden pencemaran yang berpotensi menyebabkan henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) dan gangguan bekalan air melalui Op Sumber Air sejak Mac lalu.


"Hanya satu insiden pencemaran di Sungai Gong yang lambat dikesan mengakibatkan gangguan kepada 1.2 pemegang akaun awal bulan lalu," katanya selepas merasmikan Program Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 peringkat Selangor di Subang Jaya Roverfront di sini hari ini.


Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan; Pengarah LUAS, Datuk Ir Hashim Osman dan Pengarah Jabatan Pengairan Selangor, Datuk Ir Gafar Asan.


Menurutnya, pada masa sama kerajaan negeri juga sedang mengkaji memberikan insentif pemberi maklumat berhubung aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran bagi mengelak insiden sama berulang.


Katanya, kerajaan negeri turut melancarkan Friends of River (FoR) melibatkan penyertaan komuniti dalam program dan pemuliharan sungai.


"Sebanyak 30 FoR dibentuk yang akan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi memantau aktiviti di sungai dan sumber air. Kerajaan memperuntukkan RM200,000 dan edaran kit pemantauan sumber air sungai sebagai permulaan.


"Jumlah peruntukan itu akan ditambah menjadi RM1 juta tahun depan dengan sasaran program dikembangkan ke semua sungai di Selangor membabitkan kira-kira 4,000 kilometer panjang.


Tambahnya, aspek perundangan juga dalam proses tambah baik di bawah Enekmen LUAS 1999 dengan pindaan denda dinaikkan tidak kurang RM200,000 sehingga RM1juta bagi kesalahan di bawah Seksyen 79 berkaitan pengurusan sumber air negeri.


"Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga dalam proses semakan dan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang turut menekankan hukuman lebih keras kepada pencemar sumber air," katanya.


Sumber: Sinar Harian



23 views

Comments


bottom of page