top of page

LRT Pulau Pinang: Rundingan dengan kontraktor dalam fasa akhir - Loke


Gambar hiasan

SEBERANG PERAI: Rundingan dengan pihak kontraktor bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Pulau Pinang kini dalam peringkat akhir sebelum dikemukakan untuk kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata rundingan antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dengan kontraktor SRS Konsortium masih dijalankan dan terdapat beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan.


" ... seperti yang dinyatakan, kontraktor yang dilantik (SRS Konsortium) sebenarnya ada perjanjian dengan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini dengan model pembangunan berlainan.


"Sekarang ini, kita, kerajaan Persekutuan ambil alih, jadi kita mempunyai tatacara, prosedur dan ia telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri, tetapi dari segi kos terperinci dan kos pembinaan, ia perlu dirundingkan semula dengan pihak kontraktor," katanya kepada pemberita.


Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Induk (HOA) antara RAC dengan Rivanis Ventures Sdn Bhd bagi pembangunan di atas sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai di sini hari ini.


Loke berkata rundingan dengan pihak kontraktor mengambil masa beberapa bulan kerana pihaknya perlu melihat banyak perkara secara terperinci dan berharap semua proses itu dapat dilaksanakan tahun ini termasuk memuktamadkan kelulusan dari segi perjanjian dengan kontraktor.


Beliau berkata seterusnya ia perlu mendapat kelulusan akhir MOF sebelum projek itu dianugerahkan kepada pihak kontraktor.


Loke juga menjangkakan projek pembinaan LRT Laluan Mutiara itu dapat dimulakan pada awal tahun depan dengan majlis pecah tanah apabila segala proses dimuktamadkan.


Mengulas lanjut, beliau memaklumkan fasa pertama pembinaan LRT Laluan Mutiara itu akan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Komtar manakala fasa kedua pula melibatkan laluan menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.


"Sebelum ini, ia satu laluan terus atau jajaran tegak dari LTAPP ke Komtar, tetapi sekarang ia kena pergi ke Penang Sentral seperti yang diarahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) maka reka bentuk itu perlu diubah suai dan ada perubahan dari segi kos serta skop," katanya.


Mac lepas, kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan.


Kerajaan memutuskan melantik MRT Corp iaitu syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset dengan pelaksanaan projek dibuat secara tender terbuka.


Sumber: Astro Awani

Comments


bottom of page