
Iskandar Puteri: Penutupan lorong kecemasan antara Senai Utara dan Sedenak, akan dilakukan secara berfasa bagi memberi laluan kepada projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), bermula Julai tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata ia akan dilakukan mengikut peringkat sehingga pembinaan lorong tambahan di laluan berkenaan siap sepenuhnya pada 2027.
Katanya, empat lorong di laluan utama lebuh raya sedia ada (dua lorong arah utara dan dua lorong selatan) termasuk lorong kecemasan antara Senai Utara dan Sedenak, tidak akan ditutup, sehingga Jun 2025.
"Ini kerana kerja-kerja awalan yang sedang dilaksanakan seperti kerja tanah, geo-teknikal selain pengalihan utiliti dan dilakukan di luar kawasan dan tidak mengganggu pengguna lebuh raya.
"Lori dan jentera yang digunakan juga tidak melalui laluan lebuh raya itu sebaliknya melalui jalan alternatif lain seperti jalan ladang untuk ke tapak kerja bagi mengurangkan impak kesesakan.
"Namun, mulai Julai 2025, penutupan lorong kecemasan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon kerja bagi tujuan yang dinyatakan di atas sehingga penyiapan projek sepenuhnya pada Jun 2027," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) berkata demikian menjawab soalan Wong Bor Yang (DAP-Senai) mengenai langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh pelaksanaan kerja Projek Pelebaran Lebuhraya Plus.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, pelan pelaksanaan termasuk bagi mengurangkan kesesakan ketika kerja pelebaran laluan dilakukan sudah dipersetujui pihak kontraktor, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Plus dan kerajaan negeri menerusi beberapa siri perbincangan.
"Antara tindakan sudah dikenal pasti adalah kerja pembinaan dilaksanakan mengikut zon kerja secara berselang yang mana panjang setiap zon kerja adalah antara tiga hingga empat kilometer.
"Juga dicadangkan supaya 'smart lane' iaitu lorong kemasan di kawasan tertentu dibenarkan untuk digunakan oleh pengguna dalam tempoh yang tertentu.
"Lorong tambahan baharu yang telah disiapkan juga akan dibuka secara berperingkat bagi kegunaan trafik ketika diperlukan, seperti pada waktu puncak dan semasa berlaku sebarang kecemasan.
"Kawasan hentian kecemasan sementara juga akan disediakan di lokasi yang bersesuaian bagi memindahkan kenderaan rosak atau kemalangan dalam tempoh yang singkat," katanya.
Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Plus terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara yang juga inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan di Lebuhraya Plus Wilayah Selatan yang sering berlaku pada waktu puncak, terutamanya semasa cuti umum atau musim perayaan.
Sumber: Harian Metro
Comments