Kuala Lumpur: Lori anak syarikat Glomac Bhd (Glomac) disahkan tidak terbabit dalam insiden tumpahan simen dari lori ke atas jalan sehingga membahayakan pengguna laluan di kawasan Bandar Saujana Utama, seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Glomac dalam kenyataan hari ini berkata, pihak Kelana Kualiti Sdn Bhd dan anak syarikatnya yang lain termasuk kontraktor dilantik tidak terbabit dalam insiden itu kerana semua aktiviti di tapak binaan berakhir sebelum 7 malam.
Katanya, pihak pemaju juga mengesahkan tiada lori simen yang memasuki tapak binaan tanpa kebenaran atau tanpa pengetahuan pasukan projek terutama selepas tamat waktu operasi harian.
"Semua kerja binaan konkrit di tapak projek Saujana Utama juga sudah siap dibina pada pertengahan Februari tahun ini.
"Kesemua anak syarikat Glomac yang juga pemaju projek perumahan Saujana Utama di Sungai Buloh, amat prihatin tentang keselamatan penduduk setempat.
"Kami sentiasa memantau kesemua projek pembinaan agar mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Baru-baru ini, BH melaporkan sekitar 60,000 penduduk Saujana Utama, Sungai Buloh memohon pihak berkuasa memantau aktiviti lori simen yang membawa muatan berlebihan sehingga berlaku tumpahan ke atas jalan seterusnya membahayakan pengguna laluan berkenaan.
Difahamkan, sudah berlaku beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang terjatuh selepas melalui jalan licin akibat tumpahan simen dari lori.
Sumber: Harian Metro
Comments