SHAH ALAM – Beberapa lokasi projek atau aktiviti di sekitar Sungai Selangor dikenal pasti berpotensi menyumbang aliran pelepasan kadar kekeruhan tinggi sehingga jarak 19 kilometer dari muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil langkah proaktif menjalankan pemantauan dan siasatan di sepanjang sungai itu susulan hujan lebat lewat petang semalam.
Katanya, hasil pemerhatian mengesan aliran kekeruhan tinggi dengan bacaan lebih 2,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) di kawasan muka sauk LRA Rantau Panjang.
“Semakan LUAS di beberapa lokasi termasuk anak sungai seperti Sungai Guntong kemudian mengesan peningkatan kadar kekeruhan sehingga 1,000 NTU pukul 11.30 malam tadi.
“Kadar kekeruhan itu berpotensi memberi impak kepada operasi LRA utama negeri iaitu LRA Rantau Panjang dan tiga fasa Sungai Selangor (SSP1, SSP2 dan SSP3),” katanya hari ini.
Jelas Jamaliah, LUAS segera mengambil tindakan mengeluarkan (flushing) aliran kekeruhan itu dengan cepat melepasi kawasan muka sauk LRA dengan pembukaan penuh pintu baraj.
“Pada masa sama, siasatan mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi menyumbang aliran pelepasan dengan kadar kekeruhan tinggi pada jarak 17 hingga 19 km dari muka sauk LRA Rantau Panjang.
“Semakan mendapati, aliran kekeruhan itu akan mengalir ke anak sungai merangkumi Sungai Guntong, Sungai Serendah, Sungai Garing, Sungai Sembah dan sungai utama iaitu Sungai Selangor,” ujarnya.
Tambah beliau, LUAS menyelaraskan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi membantu pemantauan kelulusan pelan kerja tanah projek pembangunan di lokasi yang berpotensi.
“Pensampelan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa dan tindakan lanjut penguatkuasaan di bawah Enakmen LUAS 1999.
“Bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga kini, bacaan kekeruhan Sungai Selangor di muka sauk LRA Rantau Panjang menunjukkan trend menurun dan kembali normal. Tiada risiko kepada operasi LRA terlibat dilaporkan,” katanya.
Sumber: Kosmo!
Lokasi projek potensi keruhkan Sungai Selangor
Comments