LEBUHRAYA Pantai Timur ( LPT1) dari Karak ke Kuantan yang dibuka pada Ogos 2004, kini sudah berusia 18 tahun. Semasa mula-mula dibuka dahulu, tidak berlaku banjir dalam tempoh dua tahun pertama.
Kejadian banjir pertama adalah musim tengkujuh pada 2007 yang menenggelamkan kawasan berhampiran Lanchang. Kemudian pada 2014, berlaku banjir berhampiran susur keluar/masuk Tol Temerloh dan lain- lain lokasi.
Kejadian banjir terbaru pula ialah pada Januari dan Disember 2021 melibatkan beberapa lokasi sehingga menyebabkan kawasan-kawasan di antara persimpangan Sri Jaya dan persimpangan Gambang serta di antara persimpangan Temerloh dan persimpangan Lanchang serta dari persimpangan Lanchang ke Tol Karak, tenggelam.
Faktor hujan lebat luar biasa adalah antara punca utama limpahan air berlebihan dari sungai dan paya berhampiran.
Sebab-sebab lain ialah terdapatnya kerjakerja tanah di sebelah hulu sungai iaitu Sungai Kelau, Sungai Bentong dan Sungai Semantan di mana terdapat projek lebuh raya sedang berjalan, juga projek di kawasan bukit terutama di daerah Bentong.
Aliran air hujan dan sungai membawa bersama tanah dan lumpur. Tanah serta pasir akan mencetekkan dasar sungai. Ini menyebabkan air hujan dan sungai lebih cepat melimpah ke tebing sehingga lebuh raya.
Faktor ini biasanya bersifat sementara selagi projek-projek tersebut belum siap sepenuhnya.
Oleh itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemegang konsesi lebuh raya perlu membuat kajian semula struktur tanah dan mengambil tindakan pemulihan jangka panjang.
Dicadangkan juga pihak berwajib meninggikan semula aras jalan yang rendah atau mendap yang pernah ditenggelami banjir dan menyediakan aliran air di bawah lebuh raya yang lebih besar bertingkat-tingkat dan berbilang-bilang lapis.
Sumber: Utusan
Comentarios