
KUALA LUMPUR: Paradigma sosial dalam industri seni bina sering memperlihatkan wujud jurang gender yang ketara, di mana golongan lelaki mendominasi kerjaya sebagai arkitek berbanding wanita.
Hakikatnya, di sebalik tugasan lelaki dalam melaksanakan sesuatu projek reka bentuk, insan bergelar wanita juga seiring membantu mengendalikan dan menjayakannya.
Menurut arkitek wanita, Ar Rushdina Ismail, dalam setiap rantaian dalam bidang ini, lelaki masih memerlukan wanita kerana golongan hawa itu lebih teliti dan tepat ketika menjalankan tugas.
Beliau yang juga pengarah ZKI Architects Sdn Bhd, tidak menafikan industri seni bina ini ramai dipelopori lelaki kerana bidang ini berkait dengan bidang lain seperti sektor pembinaan, pengurusan perniagaan, pemaju dan pembekal, keterlibatan wanita tetap ada.
"Di dalam sesuatu projek, kita akan berhubung antara satu sama lain dan berkomunikasi dengan semua rantaian yang terbabit dalam pembinaan. Jika satu projek dihentikan, semua rantaian juga akan terbantut.
"Kebanyakan individu atau pegawai tertinggi di syarikat rantaian ini termasuk sesebuah firma arkitek memang dipelopori lelaki.
"Itu sebabnya kita lihat ramai lelaki berkecimpung dalam industri ini dan seolah-olah wanita tidak terbabit.
"Untuk rekod saya, adalah arkitek untuk mereka bentuk Alun Retreat Chalet, iaitu chalet kontena perkapalan pertama di Pasir Bogak, Pulau Pangkor, selain terbabit dalam projek Hotel Tenera, Bangi; Masjid Enstek, Menara Surian dan banyak lagi," katanya.
Kerjaya arkitek bidang mencabar
Ulasnya, jurang gender membabitkan bidang arkitek atau jurubina ini memang mencabar kerana ia antara kerjaya yang sukar.


"Namun, ramai juga yang tidak tahu di sebalik sesuatu kejayaan projek pembinaan, umpamanya belakang industri itu juga adalah wanita. Cuma, biasanya lelaki menjadi pembuat keputusan dalam projek itu," katanya.
Beliau berkata, tugas arkitek tidak sekadar melukis pelan, sebaliknya juga mencakupi proses mereka bentuk, mengemukakan kelulusan sesuatu projek dan banyak lagi.
Seseorang itu perlu memahami undang-undang, akta dan tanggungjawab sebagai arkitek kerana mereka yang mengetahui sesebuah bangunan itu selamat untuk diduduki atau tidak.
Oleh itu, penting melantik seorang arkitek yang berkaliber untuk memastikan sesebuah bangunan itu selamat.
"Ini kerana mereka akan memantau dalam pelbagai aspek termasuk dari segi kebakaran, kebombaan, keselamatan dan unit yang perlu ada dalam sesebuah bangunan berdasarkan akta berkaitan industri ini.
"Jika berlaku suatu perkara pada bangunan, arkitek akan bertanggungjawab dan menjadi orang pertama dihubungi jika ada sebarang tragedi.
"Sebab itu banyak tekanan dalam bidang ini, yang menyebabkan ramai wanita mungkin tidak sanggup menghadapinya," katanya.
Dari segi bayaran ramai yang menganggap perkhidmatan arkitek sangat mahal, sedangkan ia membabitkan nyawa dan liabiliti.
Ahli Majlis Pertubuhan Arkitek Malaysia itu berkata, persaingan untuk mendapatkan sesuatu projek pembinaan juga agak sengit.

"Jadi masing-masing perlu ada kemahiran, idea reka mereka bentuk dan lain-lain yang bersifat subjektif.
"Dalam industri ini, ada lebih 10 akta termasuk akta pembinaan dan akta arkitek.
"Kalau orang lain buat reka bentuk dan arkitek lain menandatanganinya, ia sudah dianggap salah laku," katanya.
Cabaran bidang arkitek ini amat berat dan perlu bijak menyeimbangkan rutin seharian sebagai isteri, ibu dan kerjaya serta mempunyai tahap tekanan tersendiri.
"Saya tidak menyangkal apabila mungkin ramai wanita tidak memilih berkecimpung dalam bidang ini kerana ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi dalam segenap aspek," katanya.
Sumber: Berita Harian
Lelaki mendominasi kerjaya arkitek berbanding wanita, apa puncanya?
Comments