top of page

Lelaki maut dihempap kren


KEADAAN kren yang tumbang dan menghempap pemandunya di tapak projek perumahan berhampiran Taman Maju, Jalan Ipoh-Lumut dekat Seri Iskandar hari ini. - UTUSAN ONLINE

PARIT 24 April - Seorang lelaki maut setelah kren yang dipandu tumbang dan menghempapnya di tapak projek perumahan berhampiran Taman Maju, Jalan Ipoh-Lumut dekat Seri Iskandar di sini hari ini.


Difahamkan mangsa, Lai Kim Choy, 47, cuba melompat keluar dari tempat duduk pemandu untuk menyelamatkan diri namun gagal apabila sebahagian badannya dihempap jentera berat berkenaan.


Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederan parah dari bahagian perut ke bawah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Roslan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah hari.


Katanya, sebuah jentera bersama lima anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi melakukan tugas-tugas menyelamat.


"Ketika anggota bomba sampai, mangsa masih berada di tempat kejadian dengan sebahagian badannya berada di bawah jentera tersebut. Usaha mengalihkan mangsa yang tersepit gagal berikutan berat jentera berkenaan.


"Pihak pemaju kemudiannya menggunakan sebuah kren lain untuk mengangkat jentera yang tumbang itu bagi membolehkan anggota bomba membawa mangsa keluar," katanya.


Menurut Roslan, mangsa yang berjaya dibawa keluar bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.


"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 1.04 petang," katanya.



Comments


bottom of page