KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kini sudah memasuki 52 peratus proses pembinaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata pembinaan lebuh raya itu berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
“Sehingga Januari lalu, pembinaan projek ini sudah mencapai sebanyak 51.97 peratus dan dijangka dibuka kepada orang awam pada pertengahan tahun 2020.
“Lebuh raya ini bakal memberi manfaat kepada pengguna menerusi penyuraian trafik yang lebih terancang kepada penduduk sekitar Ampang.
“Diharapkan laluan ini turut dapat mengurangkan kesesakan terutama di Jalan Lingkaran Tengah 2(MRR2),” katanya ketika menjadi hos Majlis Ramah Mesra sempena Tahun Baharu Cina di Medan Selera Teratai, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong.
Lebuh raya SUKE membabitkan laluan sepanjang 24.4 km yang bermula dari Sri Petaling dan berakhir di Jalan Ulu Klang.
Mengulas lanjut, Mohammad Azlan turut memohon maaf kepada penduduk sekitar Ampang di atas kesulitan sepanjang proses pembinaan laluan berkenaan.
“Terima kasih diucapkan atas kerjasama dan kesabaran masyarakat di sini. Semoga laluan ini dapat menyediakan jaringan dan pilihan laluan alternatif yang lebih luas kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Kommentare