KOTA KINABALU: Jadual Kementerian Kerja Raya mengenai 15 pakej fasa satu Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang dijadual siap pada akhir tahun depan, sukar dicapai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata beliau tidak yakin jaminan itu dapat dipenuhi berdasarkan perkembangan semasa kerja pembinaan di semua pakej terbabit.
Katanya, cara kerja kontraktor yang lambat dan tidak tersusun, selain dilihat tidak profesional menyukarkan projek itu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
"Melihat 'progress' yang ada, saya tidak yakin ia boleh siap seperti yang dinyatakan.
"Sebagai orang awan yang melihat cara kontraktor bekerja tidak profesional, tidak mengikut susunan dan pada kualiti yang rendah, saya was-was ia boleh siap tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan usul terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin atas ucapan dasar kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, kontraktor projek itu juga tiada tanggungjawab terhadap keselamatan pengguna kerana membiarkan kerosakan jalan raya sedia hingga membahayakan pengguna.
"Rakyat tidak membantah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo tetapi projek perlu siap mengikut jadual dan tidak menyusahkan pengguna walaupun dalam masa pembinaan.
"Rakyat memohon supaya pemantauan Jabatan Kerja Raya sentiasa dibuat dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi," katanya.
Yusof turut membangkitkan kerosakan jalan raya di bawah pemantauan syarikat konsesi yang tidak diselesaikan.
Berikutan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji semula konsesi sedia agar lebih cekap atau ditamatkan.
Sumber: Berita Harian
Comments