top of page

Lebih RM1.3 bilion kos pelaksanaan 78 projek SPS dan SPK di Sarawak


Gambar hiasan: Projek SPS & SPK

KUCHING, 20 Nov: Sebanyak 78 projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) telah diluluskan yang akan menyediakan sebanyak 7,862 lot kediaman dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM1.349 bilion, di bawah peruntukan RMKe-12 dan Projek Rakyat sehingga 31 Oktober 2024.


Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada 78 projek tersebut, 20 projek telah siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 58 projek akan diteruskan sehingga penghujung RMKe-12.


“Sejak 2018, pembangunan infrastruktur spesifikasi baharu yang dilaksanakan melibatkan jalan raya berturap, parit konkrit, lot-lot yang ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik di SPS dan SPK melibatkan purata kos sebanyak RM150,000 bagi setiap lot.


“Kerajaan Sarawak telah menetapkan bayaran premium tanah bagi setiap lot tidak melebihi RM2,500 dan pembayaran boleh dibuat secara ansuran tahunan sehingga 10 tahun,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.


Katanya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, SPK Pagan, Saratok akan dilaksanakan secara berfasa. Pembinaan infrastruktur asas Fasa 1 telah dimulakan pada September 2024 untuk tempoh 24 bulan.


“Fasa 1 ini akan menyediakan 177 lot kediaman yang terbahagi kepada dua (2) zon iaitu Zon A melibatkan 78 lot kediaman dan Zon B yang melibatkan 99 lot kediaman,” katanya.


Awang Tengah yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak menjelaskan, di kawasan DUN Bukit Begunan, tapak bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Melugu berkeluasan 52.6 ekar telah diluluskan dalam tahun 2022.


“Pelaksanaan pembangunan infrastruktur Fasa 1 SPK ini dijangka akan dimulakan pada tahun 2025 tertakluk kepada kesediaan peruntukan.


“Fasa 1 tersebut dijangka akan menyediakan 88 lot kediaman melibatkan tanah berkeluasan 18.2 ekar dan Fasa 2 akan dicadangkan dalam RMKe-13 bagi penyediaan 118 lot kediaman,” jelasnya.


Bagi kawasan DUN Tellian, kerja pembinaan infrastruktur spesifikasi baharu bagi SPK Tellian Fasa 1 telah dimulakan pada 19 September 2024 dan dijadual siap pada 18 September 2026 dengan peruntukan RM30 juta di bawah pelaksanaan Projek Rakyat.


Tambahnya, bagi SPK Tellian Fasa 2 Peringkat 1, reka bentuk infrastruktur telah dimuktamadkan dan permohonan peruntukan bagi pembinaan infrastruktur tersebut akan dikemukakan dalam RMKe-13 untuk pertimbangan.


Sumber: TVS

Comments


bottom of page