top of page

Lebih 4,600 lokasi titik panas bah dikenal pasti, senggara sistem parit


Keadaan banjir kilat di Persiaran Surian Damansara – Taman Pelangi Damansara pada 12 November 2024. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

SHAH ALAM, 5 DIS: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mengenal pasti sebanyak 4,619 lokasi titik panas banjir di seluruh negara.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerja mitigasi iaitu penyelenggaraan dan pembaikan sistem perparitan dibuat sebagai tindakan awal meningkatkan tahap persediaan banjir.


“Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPN) turut memantau sistem amaran awal bagi memastikan 534 siren amaran banjir di sungai-sungai utama berfungsi dengan baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat V Ganabatirau (HARAPAN-Klang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Fadillah yang juga menteri Petra memaklumkan kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengatur tiga langkah sebagai persediaan menghadapi musim banjir di seluruh negara.


Menurutnya, tiga langkah itu membabitkan prabanjir, persediaan tindak balas bencana dan penyelarasan pascabanjir.


“Ketika prabanjir, Nadma aktifkan Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), penempatan 737 pam bergerak seluruh negara, menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web.


“Sebagai persediaan tindak balas bencana banjir pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaksanakan simulasi dan latih amal bersepadu sebagai persediaan di pusat pemindahan sementara (PPS).


“Manakala bagi penyelarasan pascabanjir, ia meliputi bantuan awal, pembersihan, dan bantuan-bantuan pascabencana kepada mangsa termasuk bantuan kewangan serta pembaikan segera kerosakan infrastruktur,” ujarnya.


Comments


bottom of page