top of page

Lebih 3,500 hektar HSK Selangor diceroboh


Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Hutan Simpan Kekal (HSK)
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengenal pasti 3,580.81 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) diteroka secara haram membabitkan 57 lokasi di seluruh negeri dalam 4,000 operasi penguatkuasaan pemantauan dan rondaan kes dalam tempoh empat bulan tahun ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) setakat ini, mengenal pasti sekurang-kurangnya 57 lokasi penerokaan haram dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh negeri itu, membabitkan keluasan mencapai 3,580.81 hektar.


Pengarahnya, Azhar Ahmad, berkata daripada jumlah itu, 2,436.98 hektar atau 68.06 peratus sudah diambil tindakan menerusi pemberian permit penggunaan membabitkan kawasan seluas 2,387.02 hektar, manakala 49.96 hektar lagi dikenakan operasi penguatkuasaan.


Mengulas lanjut katanya, semua lokasi terbabit dikenal pasti menerusi hampir 4,000 penguatkuasaan pemantauan dan rondaan kes yang dilaksanakan pasukan JPNS, termasuk 975 rondaan dilakukan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.


"Sepanjang tahun lalu sahaja, kami melakukan 3,007 pemantauan dan rondaan, selain 15 operasi bersepadu berhasil mengesan 55 kes pencerobohan yang membawa kepada 120 tangkapan.


"Sementara tahun ini, 975 pemantauan dan rondaan sudah dibuat, selain empat operasi bersepadu yang berhasil mengesan 33 kes dan membolehkan 46 tangkapan dibuat.


"JPNS komited menjaga HSK dengan meningkatkan penguatkuasaan, termasuk pemantauan dan rondaan secara berterusan meliputi darat, air serta udara dengan menggerakkan keseluruhan anggota penguat kuasa di seluruh negeri," katanya dalam temu bual khas dengan BH di sini semalam.


Azhar berkata demikian sebagai mengulas laporan BH berhubung dua HSK di Selangor yang berisiko terancam susulan wujudnya penerokaan haram di Hutan Simpan Bukit Tarek dan keadaan hutan terosot akibat tinggalan aktiviti penerokaan lama di Hutan Simpan Rantau Panjang.


Tambah aset penguat kuasa

Pada masa sama, Azhar berkata, JPNS turut melaksanakan penambahan beberapa aset penguat kuasa, termasuk kenderaan pacuan empat roda, bot dan dron bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan.


Selain itu, katanya, teknologi dan penggunaan imej satelit juga turut digunakan bagi mengesan sesuatu pembukaan kawasan hutan sebelum semakan lanjut dilaksanakan di lapangan.


"Kita turut melakukan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, termasuk perolehan maklumat daripada orang awam yang menjadi mata dan telinga kepada JPNS," katanya.


Beliau berkata, sehingga kini JPNS sudah memberikan lebih 150 permit penggunaan bagi tujuh aktiviti yang dibenarkan mengikut Seksyen 34 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri (EAPN) Selangor 1985 antaranya penyelidikan, rekreasi dan penanaman sayur-sayuran.

Antara bangunan di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Tarek, Kuala Kubu Bharu. - NSTP/Asyraf Hamzah

Katanya, permit penggunaan perlu diperbaharui setiap tahun dan JPNS sedang menyemak jika wujudnya perlanggaran yang boleh menyebabkan kebenaran itu dibatalkan.


"Ada dua atau tiga permit penggunaan yang kita sedang semak untuk dibatal jika benar wujudnya perlanggaran daripada tujuh aktiviti dibenarkan," katanya.


Beliau berkata, JPNS berdepan cabaran umum dalam memelihara dan melindungi HSK antaranya disebabkan kepesatan pembangunan guna tanah di Selangor antaranya bagi tujuan pembangunan untuk maksud perbandaran, industri dan perumahan.


Katanya, selain itu, kurangnya pemahaman dalam aspek perhutanan hingga menyebabkan kesedaran umum mengenai perlindungan alam sekitar turut memberi cabaran.


"Kita juga berdepan dengan kekangan peruntukan dari aspek kewangan, tenaga kerja, teknologi dan kepakaran dalam pengurusan hutan di sebuah negeri maju," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page