top of page

Lebih 100 projek pembangunan dilaksana persekutuan di Selangor tahun depan


EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail pada sesi soal jawab mesyuarat ketiga (bajet) penggal kedua Dewan Negeri Selangor ke 15 di Dewan Negeri Selangor pada 21 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

SHAH ALAM, 21 NOV: Sebanyak 114 projek pembangunan akan dilaksana kerajaan persekutuan di Selangor tahun depan, dengan peruntukan berjumlah RM1.56 bilion, kata EXCO kemajuan desa.


Menurut Datuk Rizam Ismail, sebanyak 93 projek bernilai RM1.22 bilion dikendalikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meliputi 24 projek baharu, manakala selebihnya sambungan.


Bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transfomasi Air pula, jelasnya, terdapat 21 projek termasuk 12 pembangunan di kawasan luar bandar Selangor, dengan dana sebanyak RM340 juta.


“Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan kedua-dua kementerian ini bagi melaksanakan semua projek pembangunan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini.


Dalam pada itu, Rizam berkata pihaknya akan memperhalusi cadangan wakil rakyat Perikatan Nasional untuk membina klinik kesihatan bergerak dan jaringan pengangkutan awam di Hulu Bernam.


“Saya sendiri akan berbincang dengan EXCO terlibat untuk memastikan kawasan yang jauh daripada akses kesihatan dan pengangkutan awam diberikan perhatian sewajarnya,” jelasnya.


Comments


bottom of page