GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, berharap tujuh jambatan besi yang kini dalam pembinaan dapat disiapkan secepat mungkin sebelum ketibaan tengkujuh hujung tahun ini.
Tujuh jambatan besi terbabit bakal memberi manfaat kepada 1,000 penduduk Pos Gob itu dilaksanakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) kini masih dalam pembinaan.
Tinjauan mendapati, jalan yang sedang dinaik taraf sepanjang 34 kilometer (KM) dari Pos Simpor ke Pos Gob masih dalam pembinaan dan hanya jambatan di Sungai Perias selesai dinaik taraf sepenuhnya kepada jambatan besi.
Penduduk Pos Gob, Disman Angah, 44, mendakwa pembinaan jambatan dan kerja naik taraf jalan bermula sejak tahun lalu namun sehingga kini belum selesai.
"Apa yang lebih merisaukan kami apabila tiba musim hujan. Jika keadaan ini berterusan kami susah nak keluar untuk membeli barangan keperluan terutama makanan asas.
"Selagi jambatan itu tidak siap, kami terpaksa menggunakan jambatan kayu yang boleh membahayakan nyawa selain perlu bergotong-royong membaikinya apabila runtuh.
"Kami sangat berharap pihak berkenaan dapat mempercepatkan pembinaan jambatan dan proses naik taraf jalan ke Pos Gob," katanya ketika ditemui, di sini.
Penghulu Pos Gob, Liman Alang, berkata jambatan besi yang lebih selesa penting disiapkan secepat mungkin untuk kegunaan penduduk di pos terbabit.
"Pembinaan jambatan besi dan proses naik taraf jalan ini sangat penting bagi kami di sini kerana itu adalah satu-satunya laluan utama untuk ke bandar Gua Musang.
"Dengan adanya kemudahan jambatan besi ini perjalanan kami untuk ke bandar lebih cepat berbanding sekarang yang mengambil masa sehingga 13 jam atau perlu bermalam di dalam hutan kerana faktor jalan yang rosak.
"Masalah jalan yang dihadapi penduduk juga turut memberi kesan kepada ekonomi penduduk apabila tidak dapat keluar untuk memasarkan hasil hutan serta pertanian seperti pisang dan ubi kayu.
Sumber: Berita Harian
Comments