top of page

LBS anugerahkan kontrak EPCC bernilai RM104 juta kepada Solarvest



Kuala Lumpur: Konsortium yang diketuai pemaju hartanah LBS Bina Group Berhad (LBS Bina), menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM104 juta kepada pakar tenaga bersih serantau, Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) untuk membina projek ladang solar berkapasiti 43 megawatt sejam (MWp).


Projek itu menandakan kemasukan strategik LBS Bina ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).


Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina, Tan Sri Datuk Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, sebagai syarikat yang komited terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pihaknya sentiasa menunjukkan dedikasi terhadap kelestarian.


"Hari ini menandakan satu pencapaian penting apabila kami meraikan penganugerahan kontrak EPCC kepada Solarvest melalui anak syarikatnya, Atlantic Blue Sdn Bhd, syarikat yang terkenal dengan penyampaian projek berkualiti tinggi, penyiapan projek mengikut jadual dan bajet.


"Kepakaran mereka memberikan keyakinan dalam pembinaan kami, meningkatkan kredibiliti projek solar kami dan mewujudkan persekitaran kolaboratif dalam mencipta penyelesaian inovatif.


"Kami optimis bahawa kerjasama ini akan membantu mencapai matlamat projek kami dan memajukan objektif kelestarian," katanya.


Ladang solar itu akan dibina di Senawang, Negeri Sembilan, dan dijangka siap menjelang akhir 2025.


Selepas pentauliahan, ia dijangkakan dapat menghasilkan kira-kira 53,000 MWh tenaga bersih setiap tahun, sekali gus mengurangkan kira-kira 35,000 tan pelepasan karbon dioksida.


Ladang solar ini juga dijangka akan menyumbang sekitar 53,000 Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (RECs) kepada pasaran, membantu pengguna korporat mencapai matlamat kelestarian mereka.


Selain itu, pembabitan strategik LBS Bina dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ini menegaskan komitmennya terhadap kelestarian dalam pembangunan perniagaan.


Inisiatif ini bukan sahaja selaras dengan matlamat persekitaran LBS Bina, tetapi juga melengkapi teras perniagaannya dalam pembangunan hartanah dengan memperkaya tawaran produknya di masa hadapan, dengan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.


Dengan membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui di bawah CGPP, LBS Bina akan mencipta aliran pendapatan baru yang berulang setelah ladang solar beroperasi, meningkatkan pendapatannya dalam jangka panjang.


Ladang solar ini juga dipunyai oleh Suria Hijauan Sdn Bhd, iaitu konsortium yang terdiri daripada Setara Armada Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh LBS), MWG Solar Energy Sdn Bhd dan Ocean Solar Energy Sdn Bhd.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya teruja dengan peningkatan kesedaran ESG dalam kalangan korporat dan matlamat kelestarian mereka.


Katanya, CGPP menawarkan platform yang bernilai tinggi bagi pengeluar tenaga bebas seperti LBS Bina dan untuk menyumbang kepada pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.


Solarvest berbesar hati dilantik oleh LBS Bina, salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, untuk menyediakan perkhidmatan EPCC bagi pembangunan ladang solar mereka.


"Projek ini menonjolkan keupayaan kami untuk melaksanakan projek solar yang kompleks, walaupun dalam keadaan yang mencabar seperti landskap berbukit di tapak.


"Dengan pendekatan inovatif dan perancangan projek yang terperinci, kami yakin bahawa kerja tanah asas sudah disiapkan untuk diteruskan dengan fasa pembinaan seterusnya," katanya.


Sehingga September 2024, buku pesanan EPCC Solarvest berjumlah RM582 juta.

Kumpulan ini juga secara aktif mengejar peluang EPCC tambahan di bawah CGPP, dengan kapasiti sasaran sekitar 380 MWp, yang mewakili anggaran nilai projek sebanyak RM800 juta.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page