KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menetapkan supaya lawatan menentu sah dilaksanakan bagi memastikan sesebuah syarikat itu benar-benar layak untuk diberikan status Bumiputera.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, syarat ini penting dan ia membuktikan penilaian memastikan kesahihan status Bumiputera sesebuah syarikat itu tidak hanya tertakluk kepada aspek dokumentasi semata-mata.
Syarikat yang berdaftar itu juga, katanya, perlu memenuhi kriteria ditetapkan oleh kementerian sebelum penarafan Bumiputera diberi bagi tujuan mengawal dan seterusnya menyokong Dasar Keutamaan Kepada Syarikat Bumiputera.
"Sebagai makluman bagi tempoh sehingga 30 September lalu, sebanyak 108,870 syarikat telah berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
"Ini termasuk 57,316 syarikat berstatus milikan tunggal yang mana 27,335 atau 48 peratus daripadanya mendapat taraf Bumiputera," katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad juga menegaskan Kementerian Kewangan komited mempermudah urusan pendaftaran syarikat yang selaras dengan prinsip perolehan kerajaan iaitu akauntabiliti awam, ketelusan, nilai faedah terbaik, persaingan adil dan saksama.
Menjawab soalan tambahan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang), Ahmad berkata kerajaan akan meneruskan penawaran tender terbuka pra-kelayakan terpilih supaya projek penting untuk rakyat dapat disegerakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, penapisan terhadap syarikat terbabit harus diteliti terlebih dahulu supaya ia boleh dilaksanakan tanpa masalah.
"Kita perlu belajar daripada projek Pan Borneo Sarawak yang kelihatan sedikit sahaja masalah dan dapat dilaksanakan dengan awal dan cekap," katanya.
Terdahulu, Ahmad berkata keseluruhan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah (LPB Sabah) terdiri 35 pakej dengan 15 pakej sedang dalam pembinaan.
Menurutnya, kaedah pelaksanaan bagi baki projek LPB Sabah adalah secara tender terbuka dalam kalangan kontraktor tempatan atau kontraktor Bumiputera atau kontraktor Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dibiayai melalui peruntukan pembangunan atau Dana Infra.
"Bagi menjamin mutu kualiti projek LPB Sabah, kerajaan akan memastikan kontraktor yang dilantik adalah kontraktor yang berkemampuan dan berkeupayaan melalui garis pemilihan kontraktor yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya.
"Melalui garis panduan itu, penilaian tender akan dilaksanakan berdasarkan kriteria penilaian yang merangkumi perkara seperti penilaian kewangan, penilaian teknikal, pengalaman syarikat, prestasi kerja semasa dan penarafan bintang sijil Program Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," tambahnya.
Sumber: Berita Harian
Lawatan menentu sah jadi syarat siasat kesahihan status Bumiputera syarikat
Comments