top of page

Laporan isu tambak laut Pulau Pinang diserah kepada UNHRC


Laporan isu tambak laut Pulau Pinang diserah kepada UNHRC
Projek Tambakan Laut Selatan Pulau (A) Pulau Pinang (PSI). - FOTO FAIL IHSAN PSI

Laporan isu tambak laut Pulau Pinang diserah kepada UNHRC

KUALA LUMPUR: Institut Masa Depan Malaysia (MASA) hari ini menyerahkan laporan pertamanya berhubung isu projek mega penambakan laut di Pulau Pinang untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pusingan Keempat.


Laporan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) berpangkalan di Geneva, Switzerland.


Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, berkata selaku badan pemikir bebas, MASA sudah menjalankan kajian bagi mengenal pasti dan mengetengahkan hak ekonomi, sosial dan budaya (ESCR) berhubung impak projek mega penambakan laut terhadap komuniti pesisir pantai di Pulau Pinang.


Walaupun projek tambakan laut membawa naratif untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, beliau menegaskan, ia membawa kesan berpanjangan terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk nyawa, ekonomi dan alam sekitar yang mungkin menghalang ESCR.


Katanya, 10 penyelidik yang pakar dalam bidang masing-masing dari universiti tempatan, pengamal undang-undang, penganalisis dan aktivis berkumpul untuk menyumbang idea serta pandangan dalam penyediaan laporan ini.


"Laporan ini mengetengahkan tema, memperluaskan ruang demokratik, memperkukuh kedaulatan undang-undang, mempromosi rasa hormat dan melindungi hak-hak asasi manusia di Malaysia.


"Projek mega di Pulau Pinang ini adalah contoh ketidakadilan ruang bila mana perspektif ruang kritikal dan dimensi ESCR tidak diambil kira dan mendapat perhatian sewajarnya dalam proses perancangan projek berkenaan.


"MASA mengambil tanggungjawab mengetengahkan dimensi ekonomi dan sosial kesan pengambilan ruang awam di bandar, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelbagai pihak yang terbabit dalam aktiviti penambakan laut ini" katanya dalam kenyataan, hari ini.


Azril berkata, laporan UPR itu adalah seiring matlamat MASA mempromosikan kemakmuran dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan tiada yang ketinggalan seperti termaktub dalam tiga teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).


Katanya, ia merangkumi pembangunan untuk semua, mencapai taraf hidup selesa dan agihan saksama, ke arah negara yang makmur, bersatu dan bermaruah.


Katanya, matlamat itu juga bertepatan dengan prinsip dan pendekatan MASA sejak penubuhannya pada 2019 untuk menyediakan penyelidikan berkualiti, cadangan dasar dan analisis isu dasar awam berpandukan data, berpaksikan nilai kemakmuran bersama.


"Ini juga selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948, Deklarasi Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) 1990, Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 dan Perlembagaan Persekutuan.


"Penyertaan MASA dalam Proses UPR memperkukuhkan suara pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam membangkitkan isu ESCR dalam rangka kerja yang tepat dan berwibawa.


"MASA akan mempergiatkan usaha untuk mempertahankan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya masyarakat Malaysia berdasarkan acuan sendiri, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi penggal 2022-2024," katanya.


Sumber: Berita Harian


Laporan isu tambak laut Pulau Pinang diserah kepada UNHRC


Comments


bottom of page