PETALING JAYA – Sebanyak lapan daripada 20 projek PR1MA dalam kategori sakit berjaya dipulihkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah berkenaan dicapai sehingga 30 April tahun ini.
“Sebelum ini, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Parlimen memberi jaminan untuk menyasarkan selesaikan 10 projek PR1MA tahun ini.
“Jadi ini perkembangan yang positif,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusiman mesyuarat Pasukan Petugas Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai di sini hari ini.
Antara projek sakit PR1MA yang telah disiapkan adalah Residensi Taman Raia Sentosa, Perak, Residensi Woodford Estate Fasa 1 di Sabah dan Residensi Kota Tinggi di Johor.
Selain itu Residensi Ranggu, Sabah; Residensi Setiawan Fasa 2 Perak; Residensi Pelangi Indah di Johor; Residensi Seri Mahkota di Kedah dan Residensi Bandar Bukit Mahkota di Selangor juga dalam kategori yang sama.
Dalam masa yang sama, Akmal berkata, sebanyak 92 projek perumahan swasta projek berjaya dikeluarkan daripada senarai projek sakit dalam tempoh 31 Disember 2022 sehingga 31 Mac 2023.
“Tempoh ini menunjukkan sebanyak 80 projek perumahan swasta dalam kategori sakit berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan atau Certificate of Completion and Compliance (CCC). 12 lagi projek sakit yang telah dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan.
“Kebanyakan projek yang lewat siap adalah untuk tempoh dua tahun lambat,” tambahnya.
Jelasnya, antara faktor projek perumahan dikategorikan sebagai sakit dan lewat adalah masalah kewangan pihak pemaju, isu kekurangan pekerja khususnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perkara melibatkan utiliti.
Terdahulu, katanya, sehingga 28 Febuari 2023, 145 projek perumahan swasta dalam kategori lewat, manakala 436 projek yang sakit selain 111 projek terbengkalai.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 95 projek perumahan swasta sakit yang menghadapi isu berkaitan utiliti seperti sambungan bekalan elektrik, sistem pembentungan, bekalan air, kemudahan jalan dan perparian yang menjadi kekangan oleh pihak pemaju.
Sehubungan itu, Akmal berkata, perbincangan dua hala dilakukan bersama agensi berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian.
“Semasa Parlimen bersidang tidak lama lagi, kami akan mengadakan pertemuan dengan Tenaga Nasional Berhad bagi isu ini,” tambahnya.
Sumber: Malaysia Gazette
Comentários