KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mencadangkan konsortium luar dilantik untuk melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam sektor pembinaan yang dibenar beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya, Datuk Azman Yusoff, berkata, ujian saringan perlu diperluaskan dalam projek pembinaan yang diluluskan memandangkan jumlah pekerja yang ramai terbabit dalam sektor ini.
“Berdasarkan laporan berita, daripada 19,000 permohonan, hanya kira-kira 1,800 syarikat yang diluluskan. Ini bermakna, semua syarikat ini perlu menjalani saringan, kita percaya jumlah ini akan terus bertambah,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, perkhidmatan saringan yang dilakukan pihak luar ini mesti dilaksana dengan pemantauan dan kaedah yang menepati piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini termasuk penggunaan kit ujian bagi menjalankan saringan ke atas semua pekerja pembinaan yang terbabit.
“Kit ujian yang digunakan mesti mendapat kelulusan KKM. Maknanya, pihak konsortium boleh membina dan mengumpul data pekerja serta menghantar rekod itu terus ke makmal untuk ujian sampel dijalankan,” katanya.
Beliau menambah, saringan mesti diwajibkan kepada semua kontraktor dengan individu yang disaring boleh mendapat keputusan sampel dengan segera, mungkin dua atau tiga jam dengan caj minimum dikenakan.
Azman berkata, ini kerana, petugas KKM kini berdepan tanggungawab mencabar untuk melakukan saringan ke atas semua rakyat terutama kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti.
“Kita harap, dengan inisiatif seperti itu, pihak kontraktor secara tidak langsung akan dapat membantu kerajaan mencegah penularan COVID-19 terutama dalam sektor pembinaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata PKBM juga lega dengan pengumuman oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkenaan kebenaran operasi kepada projek pembinaan yang sudah mendapat kelulusan.
“Kita bersetuju untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan untuk teruskan projek seperti garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comentários