TUARAN: Lantai jambatan bailey Labuaya di sini kembali tercabut selepas hampir sebulan kerja pembaikan dijalankan kontraktor yang dipertanggungjawabkan menjaga kemudahan itu.
Tinjauan mendapati kejadian itu boleh membahayakan lebih 500 pengguna harian kemudahan penting yang menjadi laluan alternatif keluar masuk pekan Tuaran.
Jambatan itu tular di media sosial hanya kerana bahagian lantai kerap rosak, menimbulkan persoalan pengguna mengenai kualiti bahan serta kaedah pembaikan digunakan tidak bersesuaian pada kemudahan itu.
Difahamkan, walaupun pembaikan berkala dilaksanakan kontraktor terbabit, struktur itu tetap rosak hingga menimbulkan runggutan pengguna yang tidak selesa melalui kemudahan itu.
Pengguna, Anthony Jun Andy, 51, berkata jambatan bailey Labuaya itu penting kepada penduduk sebagai laluan alternatif untuk ke pekan dan sebaliknya.
"Kemudahan itu turut dilalui pengguna daerah lain seperti Kota Belud, Kota Marudu, Pitas dan Kudat yang singgah di Tuaran sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi lain.
"Kelebihan itu menyebabkan kemudahan yang wujud itu penting kepada penduduk setempat dan luar," katanya.
Beliau berkata, tanpa jambatan bailey itu, lalu lintas terutama dalam kawasan pekan menjadi sesak terutama ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan.
Anita Julius, 55, papan lantai tercabut itu menjadi penyebab kesesakan sering terjadi di jambatan apabila pengguna berhati-hati mengelakkan tayar kenderaan terperosok dalam lubang.
"Papan lantai tercabut boleh menyebabkan tayar kenderaan bocor terkena paku di atas jambatan," katanya.
Beliau berharap kontraktor terbabit melakukan pemantauan kerap ke atas kemudahan itu untuk memastikan kerosakan yang berlaku dapat dibaiki segera.
Jambatan bailey Labuaya itu pernah runtuh sekali selepas digunakan kenderaan berat membawa muat berlebihan 30 tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyarankan kontraktor penyelenggara jambatan itu tidak menggunakan paku ketika menggantikan lantai kemudahan itu untuk mengelakkan kerosakan tayar kenderaan melaluinya.
"Kontraktor harus menggunakan kaedah lebih selamat untuk mengelakkan kejadian membahayakan berlaku ke atas pengguna," katanya selepas meninjau kemudahan itu.
Beliau berkata, ramai pengguna kemudahan itu merungut tayar kenderaan mereka bocor terkena paku lantai jambatan yang tercabut serta berpunca pemasangan tidak kemas.
Sehubungan itu, Tangau meminta kontraktor penyelenggara terbabit memastikan setiap baik pulih yang dilakukan mampu bertahan sehingga tempoh dua tahun.
Sumber: Berita Harian
Lantai jambatan bailey Labuaya kembali rosak
Comments