KUALA LUMPUR 21 Nov - Kontrak lanjutan selama enam tahun yang ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) untuk Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) mungkin akan menyebabkan kerajaan menanggung kos minimum RM3.2 bilion, menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).
Dalam laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh badan Parlimen pada Khamis, kontrak itu dimuktamadkan pada 3 September lalu, selepas kelulusan Kabinet pada 14 Ogos.
PAC menyuarakan kebimbangan mengenai kontrak lanjutan tersebut yang dianggap 'terlalu menguntungkan' kepada Bestinet dari segi pembayaran kerajaan dan tempoh kontrak.
Jawatankuasa berkenaan mengkritik caj RM215 bagi setiap ePass sebagai berlebihan, lebih dua kali ganda daripada kadar asal RM100 dan jauh lebih tinggi daripada RM86 yang diluluskan oleh Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) atau RM120 yang sebelum ini dituntut oleh syarikat.
"PAC sangat kecewa dengan satu perjanjian yang pada mulanya dikatakan tanpa kos kepada kerajaan, yang akhirnya menyebabkan kerajaan menanggung kos yang tinggi selama enam tahun," menurut laporan terbabit.
Kontrak itu, yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024 hingga 31 Januari 2031, meningkatkan pembayaran kerajaan kepada Bestinet untuk setiap pengeluaran permit kerja sementara dalam talian, atau lebih dikenali sebagai ePass, kepada RM215 daripada kadar sebelumnya RM100.
Dengan siling sebanyak 2.5 juta pekerja asing di bawah kuota pekerjaan, PAC menganggarkan kerajaan akan membayar sekurang-kurangnya RM3.22 bilion sepanjang enam tahun tersebut.
Jumlah berkenaan adalah dua kali ganda daripada tuntutan asal Bestinet sebanyak RM1.572 bilion, yang dinyatakan syarikat itu, mencerminkan kerugian yang ditanggung daripada operasi FWCMS antara 2018 dan 31 Mei 2024.
Julai lalu, PAC mengkritik kerajaan kerana mengendalikan platform pengambilan pekerja asing tanpa kontrak yang dimuktamadkan selama enam tahun, walaupun surat penerimaan telah dikeluarkan pada 12 Januari 2018.
PAC menyalahkan kelewatan terbabit kepada pelanggaran prosedur perolehan, peraturan kerjasama awam-swasta dan permintaan Bestinet untuk meningkatkan caj pengumpulan daripada RM100 kepada RM120.
Ketika itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Hebat Hisham Mohd Yusoff dalam satu daripada prosiding PAC berkata, kerajaan meluluskan caj yang lebih tinggi untuk mengelakkan pertikaian undang-undang berhubung tuntutan RM1.572 bilion oleh Bestinet.
"Tuntutan syarikat tersebut berdasarkan hujah bahawa mereka tidak dibenarkan untuk mengutip caj semasa tempoh kontrak dari 2018 hingga 31 Mei 2024.
"Kami juga telah berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), yang berpendapat syarikat itu mempunyai kes yang kuat dan berasas. Untuk mencapai titik tengah, kami bersetuju dengan caj perkhidmatan sebanyak RM215 untuk setiap ePass yang dikeluarkan," katanya.
Namun, Setiausaha Jeneral Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dilaporkan berkata, kontrak terbaharu menetapkan bahawa pembayaran adalah secara sekali gus, meliputi kos bioperubatan.
Jelas beliau, kontrak itu juga memberikan hak eksklusif untuk pengeluaran dan pembaharuan ePass untuk tahun pertama dan termasuk penarikan balik tuntutan RM1.65 bilion oleh Bestinet.
Awang Alik menambah, kerajaan merancang untuk mengintegrasikan FWCMS ke dalam Sistem Imigresen Nasional yang Terpadu (NIISe), dan setelah NIISe beroperasi sepenuhnya, pengurusan pekerja asing akan diuruskan melalui sistem terbabit selepas kontrak FWCMS tamat.
Sumber: Dagang News
コメント