LANGKAH penjimatan bijak apabila sebanyak 542 unit lampu jalan model diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar bakal dipasang di beberapa kawasan di sekitar daerah Klang, Selangor.
Projek berkenaan membabitkan kos RM2.9 juta dengan menggunakan pendawaian elektrik tanpa kabel bagi mendapatkan sumber tenaga elektrik sekali gus menjimatkan kewangan kerajaan.
"Sumber tenaga untuk menyalakan lampu solar LED ini diperoleh daripada cahaya matahari yang berfungsi mengecas bateri lampu itu dan tiada penyelenggaraan khusus diperlukan.
"Lampu ini akan menyala 12 jam sehari dengan kecerahan dikurangkan selepas jam 12 tengah malam bagi menjimatkan kuasa bateri, malah pihak pembekal memberikan jaminan bateri mampu bertahan selama lima tahun," katanya tadi.
Pemasangan lampu LED itu dijangka dapat mengurangkan isu kecurian kabel lampu jalan yang menyebabkan lampu tidak berfungsi seterusnya menyusahkan orang ramai.
Justeru katanya, semua unit kuasa seperti bateri dan panel solar akan berada di atas lampu (ketinggian 10 meter) bertujuan untuk mengelak kecurian serta vandalisme.
"Pemasangan lampu LED ini diputuskan selepas beberapa siri perbincangan dilakukan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Klang susulan insiden kecurian kabel lampu awam yang sukar dikawal.
"Antara lokasi pemasangan lampu jalan LED adalah Lebuhraya Pulau Indah, Lingkaran Pulau Indah, Jalan Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, Jalan Pelabuhan Utara-Barat, Jambatan Jalan Kem, Pelabuhan Klang, Jalan Parang, Pelabuhan Klang dan Lebuhraya Selat Klang, Selangor.
Sebelum ini, sebanyak 200 tiang lampu dipasang bermula di Lebuhraya Pulau Indah hingga ke Jambatan Sungai Pinang.
Sumber: Harian Metro
Kommentare