KUANTAN: Lambakan lesen kontraktor G1 atau kelas F di seluruh negara yang ketika ini berjumlah 53,000 terlalu serius dan ketara dengan sebahagian besarnya didakwa didalangi golongan ‘kartel’ menaja pihak ketiga membuat lesen bagi memonopoli sesuatu projek.
Ia sekali gus mewujudkan budaya ‘ali baba’ yang didakwa lebih 23 tahun berlaku dengan pihak kartel menguasai projek-projek kerajaan dengan cara mengumpul lesen baharu bagi memonopoli projek-projek kecil.
Justeru, yang menerima kesannya adalah golongan kontraktor kecil Melayu yang terpaksa gulung tikar ekoran ketiadaan projek yang ‘dibolot’ oleh kegiatan kartel ‘ali baba’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, pihaknya memohon kerajaan membekukan serta-merta pemberian lesen baharu kontraktor kelas F bagi mengelak disalahgunakan kartel.
Dakwanya, akibat lambakan lesen itu, lebih 20,000 kontraktor kelas F tiada kerja akibat ketiadaan projek.
“Kita minta kerajaan supaya menghentikan pendaftaran kontraktor baharu kelas F kerana kebanyakan mereka yang memohon lesen ini adalah kartel, ada yang menaja mereka buat lesen untuk monopoli.
“Agensi terlibat perlu melakukan siasatan dan temu duga semula bagi memastikan kesahihan seseorang kontraktor yang diberikan lesen.
“Ini kerana permohonan sekarang dilakukan secara dalam talian, jadi sijil dan penyata perbankan ini boleh diragui sahih atau sebaliknya. Berbeza dahulu, kita perlu bawa sijil asli dan salinannya,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Kedua Perkobf Pahang di sini semalam.
Tukiman berkata, pihak berwajib perlu memastikan hanya kontraktor yang benar-benar layak diberikan lesen.
“Ada situasi di mana dalam satu keluarga, suami, isteri, anak, semua ada lesen kontraktor kelas F dan monopoli projek. Bila dapat projek, modal tidak cukup dan tidak mampu melaksanakan projek.
“Ini perlu dipantau ketat oleh pihak berwajib kerana ramai kontraktor kelas F yang benar-benar layak tidak mendapat projek kerana dimonopoli oleh golongan kartel,” katanya.
Beliau berkata, Perkobf berharap kerajaan menambah jumlah projek untuk kontraktor kelas F dalam Bajet 2024 yang akan dibentangkan bulan depan.
Sumber: Utusan
Lambakan lesen kelas F terlalu serius
Comments