
KUCHING, 30 Dis: Laluan alternatif disediakan di kawasan ‘The Northbank’ susulan penutupan jalan baru-baru ini, demikian menurut Sarawak Metro Sdn Bhd.
Penutupan jalan ini diperlukan bagi pembinaan stesen Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di kawasan jalan berhampiran pangsapuri ‘Avona Residence’ di kawasan The Northbank.

“Penutupan ini akan berkuat kuasa sehingga siapnya Stesen SM07,” kata Sarawak Metro menerusi kenyataan pada Ahad.
Stesen ART di The Northbank merupakan sebahagian daripada pembangunan Pakej Blue Line 1 dalam projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS).
Kontraktor Pakej Blue Line 1 KUTS, iaitu syarikat usaha sama Ibraco Construction Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (ICJV), baru-baru ini bertemu dengan beberapa penduduk di kawasan terjejas untuk menerangkan keperluan penutupan jalan tersebut serta laluan alternatif baharu yang disediakan bagi memudahkan pergerakan mereka.
Penduduk yang terlibat termasuk pengendali perniagaan di deretan kedai berhampiran serta mereka yang menetap di Avona Residence.
“Sarawak Metro dan kontraktor Pakej Blue Line 1 komited untuk memastikan gangguan kepada aliran trafik di kawasan tersebut diminimumkan sepanjang pembinaan stesen dan lorong khas untuk ART,” kata kenyataan itu lagi.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Sarawak Metro, melalui kontraktornya, juga akan terus berhubung dengan penduduk yang terjejas bagi memastikan mereka sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan projek KUTS di kawasan mereka.
Blue Line yang menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange sedang dibangunkan dalam dua pakej.
Pakej 1 melibatkan pembinaan dan penyiapan kerja-kerja infrastruktur dari Rembus di Kota Samarahan ke Stutong.
Manakala, Pakej Blue Line 2, yang telah dianugerahkan kepada syarikat usaha sama Perbena Emas Sdn Bhd dan China Road & Bridge Corporation, akan melibatkan pembinaan dan penyiapan kerja-kerja infrastruktur dari Stutong ke Hikmah Exchange di pusat bandar.
Selain membina lorong khas dan stesen untuk projek KUTS, skop kerja bagi Pakej Blue Line 1 dan Pakej 2 juga merangkumi pelebaran jalan dan penambahbaikan infrastruktur penting lain.
Sumber: TVS
Comments