KOTA KINABALU: Sabah yakin projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah antara negeri terbesar dan sangat memerlukan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan kemudahan infrastruktur asas dan utiliti seperti bekalan air, eletrik, jalan luar bandar dan liputan komunikasi.
"Kemudahan infrastruktur asas dan utiliti itu amat diperlukan oleh Sabah, memandangkan negeri ini agak ketinggalan dalam aspek berkenaan khususnya di kawasan luar bandar.
"Inisiatif turun padang yang diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan program dan projek untuk Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Sabah Tahun 2023 dipengerusikannya bersama Ahmad Zahid di sini semalam.
Sumber: Berita Harian
Comments