top of page

Lagenda Properties dapat pembiayaan RM480 juta


Lagenda Teluk Intan adalah antara projek perbandaran perumahan mampu milik dilaksanakan Lagenda Properties Bhd

KUALA LUMPUR: Lagenda Properties Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai D.B.E. Gurney Resources Bhd memeterai perjanjian kemudahan pinjaman dan pembiayaan akhir bernilai RM480 juta dengan AmBank Group.


Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pihaknya gembira dapat menyokong komitmen Lagenda Properties bagi pembangunan perumahan mampu milik, menerusi kemudahan pembiayaan optimum paling sesuai dengan keperluannya.


"Kami berminat menjadi sebahagian daripada kisah pertumbuhan mereka dan berharap lebih banyak peluang bagi AmBank Group dan Lagenda Properties bekerjasama pada masa depan," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, hari ini.


AmBank Group diwakili Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan, Christopher Yap manakala Lagenda Properties oleh Pengarah Urusan, Datuk Jimmy Doh Jee Ming.


Sulaiman berkata, dengan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, komuniti kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 pertengahan (M40) akan mempunyai lebih banyak peluang memiliki rumah sendiri.


"Penyediaan perumahan mampu milik kepada rakyat adalah amat penting," katanya.


Beliau berkata, selain itu, AmBank menyokong langkah memperkenalkan kembali Kempen Pemilikan Rumah (HOC) baru-baru ini di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang menawarkan pengecualian duti setem serta kadar faedah lebih rendah dan akan terus menyertai program seumpama itu.


Sementara itu, Jee Ming berkata model perniagaan unik Lagenda Properties membolehkan pihaknya menjual rumah pada harga sehingga 30 peratus di bawah harga boleh banding terdekat (kurang daripada RM200,000) di samping mengekalkan margin dua angka (keuntungan selepas cukai) bagi syarikat.


Lagenda Properties juga telah mengambil alih tiga syarikat iaitu Blossom Eastland Sdn Bhd, Rantau Urusan (M) Sdn Bhd dan Yik Wang Trading Sdn Bhd.


Cabang pembangunan perumahan mampu milik Lagenda Properties juga telah meningkatkan skala dengan baki agregat nilai pembangunan kasar sebanyak hampir RM2.1 bilion, jualan belum dibilkan bernilai RM532 juta serta simpanan tanah berjumlah 485.62 hektar.


Lagenda Properties kini melaksanakan dua projek perbandaran perumahan mampu milik utama dikenali sebagai Bandar Baru Setia Awan Perdana dan Lagenda Teluk Intan. -BERNAMA



Comments


bottom of page