MENERUSI Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada Labuan memperlihatkan usaha secara berterusan Kerajaan Persekutuan untuk mengukuhkan pembangunan infrastruktur dan pengurusan alam sekitar.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr Jaludin Janteng, peruntukan tersebut merupakan satu langkah penting dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang mampan untuk penduduk pulau itu.
Katanya, daripada jumlah peruntukan tersebut Labuan turut menerima sebanyak RM32.917 juta digunakan untuk tujuh projek utama yang memfokuskan kepada peningkatan infrastruktur dan pengurusan alam sekitar.
“Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying yang telah mengadakan lawatan kerja ke Labuan baru-baru ini memaklumkan bahawa peruntukan tambahan itu bagi projek-projek menaik taraf Jambatan Kampung Patau-Patau Satu, pembinaan sel pelupusan sisa sanitari dan penambahbaikan loji rawatan air larut resap.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperbaiki infrastruktur malahan juga menunjukkan usaha secara berterusan dalam menangani cabaran alam sekitar di Labuan.
“Bagi saya, projek menaik taraf Jambatan Patau-Patau Satu adalah langkah penting kerana jambatan ini menjadi nadi kepada komuniti setempat malahan kepada pengunjung luar.
“Penambahbaikan ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna tetapi juga menyokong aktiviti ekonomi harian,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Jaludin menjelaskan projek pembinaan sel pelupusan sisa sanitari adalah langkah tepat bagi menangani isu pengurusan sisa pepejal di pulau ini secara lebih sistematik.
Katanya, Labuan memerlukan pengurusan sisa yang lebih sistematik dan teratur untuk melindungi alam sekitar sekali gus dapat menjamin keselamatan serta kesihatan warga di pulau itu.
“Penambahbaikan loji rawatan air larut resap turut memainkan peranan penting dalam memastikan sumber air bersih terjaga. Loji rawatan itu sudah tentu mampu meningkatkan keupayaan Labuan dalam menyediakan air bersih yang sangat penting untuk komuniti, sektor perniagaan dan industri.
“Usaha ini juga membuka peluang pekerjaan baru dalam sektor pengurusan air dan teknologi hijau, yang seterusnya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau meletakkan keyakinan dengan adanya infrastruktur yang lebih baik, Labuan berupaya untuk menarik lebih banyak pelaburan dan menyokong pembangunan mampan di pulau itu.
Jelasnya, projek-projek tersebut bukan sahaja berupaya untuk menyelesaikan cabaran semasa, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membina masa depan yang lebih baik untuk penduduk Labuan.
“Ia adalah langkah penting ke arah pembangunan yang lebih mampan. Peruntukan ini diharap dapat dilaksanakan secara berkesan untuk menyelesaikan cabaran infrastruktur dan alam sekitar di Labuan, sekali gus memperkukuh kedudukan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan yang berdaya maju.
“Kita berharap peruntukan ini akan dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik dan perkhidmatan awam yang lebih efisien.
“Dengan sokongan kewangan yang kukuh, Labuan dapat terus berkembang sebagai pusat ekonomi yang dinamik dan menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM50 juta untuk perbelanjaan mengurus bagi Labuan di bawah Belanjawan 2025, mengekalkan jumlah yang sama seperti Belanjawan 2024, dengan RM32.917 juta dikhaskan bagi tujuh projek pembangunan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata antara projek pembangunan yang akan dilaksanakan membabitkan kerja-kerja menaik taraf Jambatan Patau-Patau Satu, pembinaan sel pelupusan sisa sanitari dan penambahbaikan loji rawatan air larut resap.
Lim menjelaskan menerusi peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menambah baik infrastruktur pembangunan dan menangani cabaran alam sekitar di Labuan.
Sumber: Wilayah Ku
Comments