TEMERLOH – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar kerajaan mempercepat projek tebatan banjir.
Titah baginda, cuaca sekarang tidak menentu dan banjir secara tiba-tiba boleh berlaku.
”Mungkin kerajaan boleh segera, saya harap kurangkan retorik. Cepatkan proses pembinaan tembatan banjir khususnya Temerloh ini dan Sungai Semantan dan di Bentong, Lipis dan Kuantan, harap dapat dipercepatkan.
”Dan saya dimaklumkan sudah ada ada projek-projek secara kecilan di beberapa daerah dan saya harap yang besar ini dipercepatkan di Sungai Semantan ini,” titah baginda.
Dalam pada itu baginda berharap kerja-kerja mendalamkan Sungai Semantan dapat dibuat agar mengurangkan risiko berlaku limpahan air apabila musim hujan.
”Musim tak tentu perubahan cuaca ini , kita harus bersedia sentiasa, mungkin tahun ini agak cepat sikit dari tahun-tahun dahulu, kita harap habis cepat jugalah, sama-sama kita doa.
”Climate change berubah ini semua sebab cuaca sedunia bukan Pahang sahaja,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan dekat Temerloh hari ini.
Hadir mengiringi baginda Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan.
Al-Sultan Abdullah sempat menasihati mangsa banjir mematuhi segala peraturan di PPS dan sebelum itu baginda sempat menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti.
”Kepada mangsa banjir dengar nasihat pegawai-pegawai kerajaan dan jangan ingkar khususnya bila tengah malam bila air naik dengan cepat.
”Saya juga nasihat jaga diri juga bila di PPS jaga kebersihan jangan cepat naik darah menyalah mana-mana pihak,” titah baginda.
Sementara itu, baginda berharap pegawai kerajaan dan mereka yang membantu secara sukarela dapat memberi bantuan sebaik mungkin kepada semua pihak.
”Jangan pilih kasih dalam soal beri bantuan dan sama-samalah bantu membantu bila di pusat PPS,” titahnya lagi.
Terdahulu, sebanyak lapan projek tebatan banjir akan dilaksanakan di beberapa lokasi bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku saban tahun, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Disember tahun lalu.
Wan Rosdy berkata, inisiatif itu melibatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM212.31 juta bagi rancangan tebatan banjir di Sungai Bentong di Jerantut, Sungai Temai dan Sungai Ketapang (Pekan) serta Sungai Kenau di Sungai Lembing (Kuantan) yang dijadualkan bermula akhir tahun ini secara reka dan bina.
Menurutnya, lima lagi projek melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM4.3 juta iaitu rancangan tebatan banjir Sungai Ikan di Cameron Highlands, Sungai Gemeti (Bentong), Sungai Damak (Jerantut), Sungai Telang (Lipis) dan Sungai Chengal (Temerloh).
Manakala kerja-kerja tebatan banjir di 14 lokasi sepanjang jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dengan memperuntukkan RM200 juta bagi menangani masalah banjir di lokasi berkenaan oleh dilakukan Kementerian Kerja Raya.
Sumber: Malaysia Gazette
Commentaires