top of page

Kurang pencahayaan di Lebuhraya KLK berisiko kemalangan



KUALA LUMPUR: Kekurangan pencahayaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), khususnya di kawasan selekoh tajam, laluan mendaki dan menurun meningkatkan risiko kemalangan terutamanya pada waktu malam dan musim hujan. 


Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, hanya sekitar 30 kilometer lebuh raya tersebut yang dilengkapi lampu jalan, sementara selebihnya masih gelap.


“Jadi bolehkah pihak kementerian memberikan garis masa atau pelan tindakan yang jelas bagi menyiapkan pemasangan lampu di sepanjang seluruh Lebuhraya KL-Karak bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya?” soalnya. 


Selain itu, Mumtaz turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penggunaan lampu isyarat buatan tempatan seratus peratus, termasuk menggunakan integrasi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kalis ancaman siber. 


“Adakah kerajaan akan bercadang untuk mempertimbangkan mewajibkan penggunaan lampu isyarat di jalan-jalan raya seluruh Malaysia yang direka khas dan dibuat dan merupakan seratus-peratus buatan Malaysia daripada proses reka bentuk sehingga sepenuhnya kerana pada hari ini kita tahu bahawa kebanyakannya memang hampir sebenarnya diimport.


“Jadi kita perlu kepada suatu rekaan tempatan yang juga boleh dilengkapi dengan integrasi kecerdasan buatan AI yang juga mungkin lepas ni boleh buat kalis ancaman siber.


“Jadi adakah pihak kementerian mempunyai kajian ataupun dasar ke arah ini bagi menyokong inovasi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import khususnya untuk lampu isyarat?” soalnya.


Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memuji cadangan tersebut dan berkata, kerajaan sedang menggalakkan pengeluaran inovasi tempatan.


“Mengenai rekaan tempatan memang kita sedang lakukan dan dalam beberapa pameran saya sendiri melihat bagaimana lampu-lampu isyarat dibina oleh pihak syarikat tempatan.


“Mengenai nak mengcahayakan keseluruhan lebuh raya dia agak sukar untuk keseluruhan kecuali di simpang-simpang tiga, simpang empat memang kita letakkan lampu-lampu jalan,” katanya.


Comments


bottom of page