top of page

Kumpulan HNAG dari China dijangka jadi rakan strategik projek KXP


Kumpulan HNAG dari China dijangka jadi rakan strategik projek KXP
Sanusi (tiga dari kiri) ketika meraikan kehadiran delagasi Kumpulan HNAG dari China di pejabatnya, semalam.

Kumpulan HNAG dari China dijangka jadi rakan strategik projek KXP

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menerima kunjungan delegasi Kumpulan Lapangan Terbang Henan (HNAG) dari China, yang dijangka bakal menjadi rakan strategik projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).


Pertemuan itu diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor, yang mengadakan rundingan bersama Pengarah Pembangunan Perusahaan HNAG, Jia Xinming.


Turut serta dalam pertemuan itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Fauzi Mustaffa; Ketua Pegawai Eksekutif KXP AirportCity, Nor Salman Saad@Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahira Group, Vincent Tan.


Dalam pertemuan lebih sejam itu, kedua pihak membincangkan pelbagai perkara bagi memantapkan kerjasama ke arah merealisasikan projek KXP sebagai salah satu komponen Kedah Aerotropolis yang akan dibangunkan di Sidam Kiri, Kuala Muda.


Kunjungan delegasi HNAG ke negeri ini, adalah sebagai lawatan balas kepada delegasi Kerajaan Kedah dan KXP AirportCity ke China pada hujung tahun lalu, bagi merangka kerjasama antara dua pihak.


Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity, turut mengutus jemputan kepada Naib Gabenor Wilayah Henan, Sun Shougang, bagi melawat Kedah dalam tempoh terdekat.


Untuk rekod, HNAG adalah syarikat milik kerajaan Wilayah Henan yang menguruskan antara hab kargo udara terbesar di China di Lapangan Terbang Zhengzhou.


Terdahulu Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, ketika sidang Dewan Rakyat bulan lalu, memaklumkan dua kajian kebolehlaksanaan KXP dikemukakan dan akan dikaji perunding yang merangka pelan strategik pembangunan lapangan terbang negara.


Mac lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan kerajaan negeri memerlukan kelulusan Kementerian Pengangkutan bagi pembinaan lapangan terbang baharu sebelum dapat memulakan kerja pengambilan tanah projek KXP.



Kumpulan HNAG dari China dijangka jadi rakan strategik projek KXP

Comments


bottom of page