
PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berharap projek Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KDVT2) diteruskan segera bagi memastikan perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo berjalan lancar.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, penangguhan projek itu telah menyebabkan perkhidmatan penumpang dan kargo telah banyak terjejas.
“Sejak bermulanya projek KVDT 1 dan KVDT 2, operasi tren di beberapa jajaran adalah terhad kepada landasan tunggal mengakibatkan kekerapan tren terpaksa dikurangkan serta tempoh perjalanan meningkat.
“Akibatnya, jumlah penumpang KTM Komuter menunjukkan angka penurunan yang ketara iaitu 65,627 orang pada tahun 2019 berbanding 136,375 orang pada tahun 2015,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Ahmad Nizam menjelaskan, meskipun KDVT 2 masih dalam proses penyediaan tender baharu oleh Kementerian Pengangkutan, namun pihaknya memberi jaminan bahawa laluan sepanjang projek itu selamat serta boleh digunakan untuk operasi tren penumpang dan barang.
Ini kerana katanya, laluan meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang sepanjang 265 kilometer sentiasa diselenggara oleh pasukan peronda landasan.
“Walaupun projek ini dihentikan buat sementara waktu, KTMB tidak akan menggunakannya sebagai alasan untuk tidak mengambil tindakan bagi memastikan landasan berada dalam keadaan baik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang,”ujarnya.
Sumber: Kosmo!
Comments