top of page

Krisis air sejagat kian meruncing


Satu perempat daripada populasi global sedang menggunakan air minuman yang tidak selamat.
Satu perempat daripada populasi global sedang menggunakan air minuman yang tidak selamat. - Foto hiasan

AIR nadi terpenting untuk semua hidupan dan menjadi khazanah alam yang perlu dipelihara demi survival penduduk dunia.


Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 1.4 juta orang mati setiap tahun, manakala 74 juta penduduk global berdepan penyakit berkaitan air, sanitasi dan kebersihan, pada tahun lalu.


Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula mencatatkan kira-kira dua bilion orang atau satu daripada empat penduduk dunia masih kekurangan sumber air bersih.


Berdasarkan laporan Pembangunan Air Dunia pula, mendapati penduduk bandar di seluruh dunia menghadapi krisis kekurangan air dijangka meningkat kepada 1.7 bilion hingga 2.4 bilion orang menjelang 2050, berbanding 930 juta orang pada 2016.


Justeru, pada Persidangan Air Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2023, kekal komited air adalah komponen penting dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan yang Mampan (SDG) dan begitu berharga dalam penunjuk kesihatan dan kesejahteraan penduduk.


Jadi, air sangat berkait rapat dengan tonggak pembangunan mampan, integrasi sosial, budaya, ekonomi dan nilai dalam politik.


Sumber air menyokong pencapaian dalam banyak SDG, iaitu melalui hubungan rapat dengan iklim, tenaga, bandar, alam sekitar, keselamatan makanan, kemiskinan, kesaksamaan jantina, kesihatan dan sebagainya.


Krisis air dan sanitasi berterusan menjadi ancaman kepada semua orang dan pengurusan air yang lemah perlu ditingkatkan atau dilipat gandakan dalam semua aspek kehidupan.


Dengan penduduk dunia semakin bertambah, bidang pertanian dan industri juga memerlukan air. Namun, isunya hari ini perubahan iklim semakin teruk.

Krisis global air dijangka meningkat kepada 1.7 bilion hingga 2.4 bilion orang menjelang 2050. - Foto hiasan

Tanpa kitaran air yang berfungsi dan berdaya tahan untuk semua orang di mana sahaja, kesihatan manusia dan integriti alam sekitar akan sentiasa terancam dan masa depan yang mampan dan saksama akan kekal di luar jangkauan.


Minum air tanpa dirawat

Malah, pada Persidangan Air PBB, baru-baru ini turut mendedahkan, satu perempat daripada populasi global sedang menggunakan air minuman yang tidak selamat, manakala separuh daripada manusia atau 3.6 bilion orang hidup tanpa sanitasi yang terurus dengan selamat.


Lebih 80 peratus air sisa dilepaskan ke alam sekitar tanpa dirawat atau digunakan semula dan dikhuatiri, kemarau mampu menjadi wabak seterusnya.


Hampir tiga perempat daripada semua bencana baru-baru ini adalah berkaitan air dan menyebabkan kerosakan ekonomi mencecah hampir AS$700 bilion (RM30.9 trilion) dalam tempoh 20 tahun lalu.


Justeru, Persidangan Air PBB berpandangan penting untuk semua peringkat memulakan tindakan sewajarnya dengan beralih daripada langkah jangka pendek tunggal dan bersasar ke arah pendekatan dan projek yang lebih holistik, bersepadu dan berorientasikan masa depan.


Dalam menghadapi cabaran alam sekitar, budaya, sosial, ekonomi dengan mampan, penyelesaian saksama dan berdaya tahan, perlu mengenal pasti titik panas, peluang inovatif yang boleh dipertingkatkan dengan merentasi sempadan serta sektor.


Kita perlu segera mencari keseimbangan baharu untuk memastikan pembangunan air yang mampan untuk manusia, ekonomi dan alam semula jadi.


Empat cabaran tangani krisis air sejagat

Mengulas lanjut mengenainya, Presiden Forum Air Malaysia, Saral James Maniam berkata, meskipun pelbagai tindakan di peringkat global sudah diambil untuk menangani krisis air, cabaran berterusan perlu diambil kira.


Katanya, sekurang-kurangnya empat cabaran berterusan dihadapi di peringkat global hari ini iaitu, kekurangan air, pencemaran air, infrastruktur yang tidak mencukupi dan perubahan iklim.


"Dalam konteks kekurangan air, ia berlaku disebabkan permintaannya semakin meningkat, selain kesan perubahan iklim mengakibatkan kekurangan air di kebanyakan benua terutama di kawasan kemarau dan separa kemarau.


"Sebagai contoh, di rantau Asia Barat dan Afrika Utara, kekurangan air menjadi penting disebabkan kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi, amalan pengurusan air yang lemah dan kesan perubahan iklim.


"Pencemaran air adalah cabaran utama hingga mampu menjejaskan negara maju dan membangun. Ia boleh datang daripada aktiviti perindustrian, pertanian, sisa manusia dan rawatan air sisa yang tidak mencukupi.


"Di China, misalnya pencemaran air menjadi ketara disebabkan perindustrian yang pesat dan banyak saluran air tercemar dengan logam berat, bahan kimia serta bahan pencemar lain," katanya.


Keperluan air bersih cabaran utama

Dalam konteks infrastruktur yang tidak mencukupi, Saral James berkata, di kebanyakan negara, loji rawatan air, saluran paip dan kemudahan penyimpanan adalah cabaran besar menghalang penyampaian air bersih dan selamat kepada masyarakat.


"Di sub-Sahara Afrika, umpamanya akses kepada air selamat terhad kerana infrastruktur lemah dan ramai bergantung pada sumber air tidak selamat, berdepan penyakit bawaan air dan masalah kesihatan.


"Perubahan iklim mengakibatkan menyebabkan kesan ketara ke atas sumber air secara global termasuk perubahan dalam corak kerpasan, pencairan glasier dan peningkatan paras laut.


"Ia membawa kepada kekurangan air, peningkatan tekanan air dan ketidakpastian lebih besar dalam ketersediaan air.


"Contohnya, di Himalaya pencairan glasier dan perubahan pola kerpasan membawa kepada peningkatan tekanan air dan ketidakstabilan, yang mengancam mata pencarian berjuta-juta orang yang bergantung kepada sumber air," katanya.


Malaysia atasi masalah sumber air

Meskipun Malaysia tidak separah dalam menangani ancaman krisis air global, cabaran berkaitannya tetap ada berikutan masih banyak kawasan di beberapa negeri kekurangan air terutama pada musim kemarau, selain wujud isu pencemaran.

Air diperlukan dalam pelbagai sektor termasuk sektor pertanian. - Foto hiasan

Saral James, berkata bagi mengatasi cabaran kekurangan air, Malaysia melaksanakan beberapa langkah seperti penuaian air hujan, kitar semula air sisa dan pembinaan loji rawatan air baharu.


Contohnya program 'Sejuta Tangki Penuaian Air Hujan' bertujuan memasang tangki penuaian air hujan babitkan isi rumah, sekolah dan bangunan kerajaan di seluruh negara.


"Untuk mengatasi pencemaran, Malaysia melaksanakan beberapa pembaharuan termasuk peraturan lebih ketat mengenai pelepasan air sisa industri, penubuhan zon kawalan pencemaran dan pembinaan loji rawatan air sisa baharu.


"Program seperti projek River of Life, bertujuan membersihkan dan memulihkan Sungai Klang, salah satu sungai paling tercemar di Malaysia.


"Malah, kewujudan Program Penjagaan Sungai dilaksanakan kerajaan Selangor mampu menggalakkan pemuliharaan sungai dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan melindungi sumber air," katanya.


Krisis air di kawasan pedalaman

Katanya, negara ini juga berdepan cabaran infrastruktur tidak mencukupi menyebabkan, pelbagai kawasan masih kekurangan akses kepada bekalan air selamat khususnya di kawasan pedalaman.


"Untuk mengatasi cabaran ini, Malaysia melabur dalam loji rawatan air baharu, saluran paip dan takungan untuk menambah baik bekalan air di kawasan kurang mendapat perkhidmatan.


Pelan Transformasi Industri Perkhidmatan Air Negara dilaksanakan perlu ditambah baik agar semua mampu mendapat akses air selamat dan bersih, selain meningkatkan infrastruktur air," katanya.


Jadi, Malaysia perlu kekal melaksanakan pembaharuan untuk menangani krisis air dengan berkesan.


"Ini termasuk mengukuhkan peraturan mengurangkan pencemaran air, menggalakkan amalan pemuliharaan air, melabur dalam penyelidikan, pembangunan teknologi baharu dan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pengurusan sumber air, katanya.


Info:

Fakta krisis air sejagat

  • Satu daripada empat orang atau 2 bilion orang kekurangan air minuman selamat

  • 5 bilion penduduk dunia dijangka alami masalah kekurangan bekalan air, menjelang 2050

  • Hampir separuh populasi global atau 3.6 bilion orang kekurangan sanitasi selamat

  • 44 peratus sisa air isi rumah seluruh dunia tidak dirawat dengan selamat

  • Permintaan air global diunjurkan meningkat sebanyak 55 peratus menjelang 2050

Sumber: Berita Harian

تعليقات


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page