PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebuah kren pengangkat terbalik dan tumbang semasa melakukan kerja-kerja mengecat di bangunan Blok A, Fasa 4C, Presint 8, di sini pada pagi Khamis akibat kehilangan keseimbangan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi di Hospital Putrajaya.
"Mangsa yang meninggal dunia adalah warga Indonesia dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Mangsa dipercayai jatuh dari ketinggian tingkat tujuh di lokasi kejadian semasa bekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Aidi Sham berkata, dua mangsa yang meninggal dunia berusia 54 dan 53 tahun.
Tambahnya, mangsa ketiga yang berusia 56 tahun mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.
Menurut beliau, kesemua mangsa adalah pekerja kontrak berdaftar dengan syarikat yang sedang membuat kerja mengecat bangunan di Blok A.
Katanya, kejadian berpunca daripada mangsa yang berada dalam 'bucket crane' telah terjatuh apabila jentera hilang keseimbangan.
Jelasnya lagi, lokasi kemalangan merupakan kawasan tanah lapang tidak berturap.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II, Mohd Afizi Zolkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.32 pagi.
Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) yang tiba di lokasi mendapati terdapat sebuah jentera pengangkat terbalik dan terdapat tiga orang mangsa.
Mohd Afizi berkata, operasi menyelamat itu membabitkan dua pegawai dan 13 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Presint 7 dan Presint 14.
Kata beliau, dua kenderaan iaitu Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera EMRS digunakan dalam operasi pagi ini.
Tambahnya, antara agensi lain yang terlibat dalam operasi menyelamat itu adalah KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Sumber: Sinar Harian
Comments