top of page

KPRJ bakal lancar pelan strategik 10 tahun


JOHOR BAHRU 20 Feb. - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) bakal melancarkan pelan strategik 10 tahun dengan mengekalkan teras perniagaan dalam bidang pembinaan dan pembangunan hartanah yang akan terus memacu pertumbuhan syarikat.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Noorazam Osman berkata, pada masa sama untuk tempoh jangka panjang, pelan strategik itu juga akan melihat peluang lain yang boleh diceburi di negeri ini terutama sektor yang berdaya tahan.


"Apabila keadaan ekonomi tak berapa bagus, itulah masa untuk kita merancang dan mengkaji semula rancangan perniagaan. Jadi kita akan keluarkan satu pelan jangka panjang 10 tahun yang mengambil kira keadaan serta peluang yang ada di negeri ini dengan teras perniagaan kita masih kekal dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.


"Kita akan mempelbagaikan perniagaan terutama yang berdaya tahan kerana kita tidak mahu buat bisnes kemudian tutup.


"Jadi, setakat hari ini, semua anak syarikat kita ada keuntungan, kita tidak ada syarikat yang rugi dan KPRJ pada tahun lalu membuat keuntungan dalam RM26 juta dan pada tahun ini, kita menyasarkan keuntungan sebanyak RM34 juta," katanya pada majlis bersama media bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.


Beliau berkata, menerusi pelan tersebut juga, KPRJ akan turut memberi fokus kepada peranan anak syarikatnya, Digital Johor Sdn. Bhd. dalam pembangunan digital selain Sports Johor Sdn. Bhd. sebagai satu lagi platform perniagaan dalam bidang sukan.


Pada masa sama katanya, KPRJ turut melihat peluang yang boleh direbut menerusi bidang minyak dan gas dalam sektor perkhidmatan sokongan bukan sahaja di Pengerang dekat Kota Tinggi tetapi juga di Melaka dan Terengganu.


Dalam pada itu, ditanya adakah pasaran hartanah yang tidak menentu pada masa sekarang memberi kesan kepada KPRJ, Mohd. Noorazam berkata, perkembangan itu tidak memberi kesan kepada syarikat kerana KPRJ tidak fokus kepada pembangunan hartanah mewah.


Menurutnya, KPRJ menfokuskan kepada pembinaan rumah yang mampu dibeli oleh golongan M40 atau B40 yang berharga RM300,000 ke bawah dalam usaha membantu kerajaan memastikan rakyat mampu untuk memiliki rumah sendiri.


Sumber: Utusan Online


Comments


bottom of page