top of page

KPM teliti garis panduan pembinaan sekolah baharu untuk singkatkan masa pembinaan


Kementerian Pendidikan (KPM)
Gambar hiasan: "Dari segi pembinaan sekolah ambil lebih lima sehingga lebih 10 tahun." - Kementerian Pendidikan (KPM)

Kementerian Pendidikan (KPM)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan proses mula pembinaan sebuah sekolah di kawasan yang sudah dikenal pasti memerlukan masa lebih lima hingga 10 tahun kerana perlu melalui beberapa prosedur ditetapkan.


Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata masa yang agak lama diperlukan kerana kementerian berdepan masalah antaranya membabitkan urusan pemilikan dan penyerahan tanah sebelum projek itu dapat dimulakan.


Sehubungan itu, kementerian akan meneliti semula garis panduan berkaitan supaya tempoh mula projek pembinaan sekolah dapat disingkatkan.


"Dari segi pembinaan sekolah ambil lebih lima sehingga lebih 10 tahun. Saya akan memastikan kita mengkaji semula proses (garis panduan) pembinaan sekolah baharu.


"Kita akan mengkaji semula (garis panduan) untuk kita nak kurangkan, singkatkan masa pembinaan (sekolah).


"Sebab satu masalah kita hadapikan adalah mesti memastikan (urusan) penyerahan tanah kerana tanah itu adalah di bawah PBT (pihak berkuasa tempatan).


Pemilikan tanah itu satu usul yang utama sebelum pembinaan sesebuah sekolah," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang mencadangkan agar KPM meneliti semula garis panduan untuk pembinaan sekolah supaya ia tidak memerlukan masa lama untuk disiapkan, berikutan kebanyakan individu membeli rumah mengambil kira keperluan asas seperti kewujudan institusi pendidikan seperti sekolah.


Menjawab soalan asal tentang usaha mengemas kini dan menambah baik garis panduan membina sekolah baharu, Hui Ying menjelaskan KPM mendapatkan input dan cadangan pembinaan sekolah melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).


Seterusnya, beliau berkata KPM melaksanakan analisis keperluan secara terperinci berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia daripada PLANMalaysia, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2022.


Selain daripada kesediaan tapak atau tanah, perkara lain diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk serta perancangan pembangunan kawasan terbabit berdasarkan perbincangan bersama PBT.


"Juster, KPM sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page