BANGI, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan RM1.21 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjayakan Kempen Persekitaran KPKT sepanjang tahun 2024.
Peruntukan itu adalah bagi menjayakan tujuh kempen iaitu Premis Makanan Bersih, Pasar Awam Bersih serta Tandas Awam PBT Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).
Kempen itu turut melibatkan Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Pengurusan Haiwan Terbiar, Cegah Wabak Denggi dan Membasmi Hotspot Denggi.
Peruntukan ini adalah penting kepada PBT, khasnya bagi membaik pulih dan memperindahkan struktur kemudahan awam yang rosak, uzur serta menjalankan aktiviti gotong-royong dengan komuniti setempat.
KPKT juga telah memperuntukkan RM150 juta bagi menaik taraf 1,000 tandas awam kepada tandas berstatus BMW, RM50 juta untuk menaik taraf pasar awam dan gerai MADANI, serta RM60 juta untuk menaik taraf medan selera PBT.
Pada majlis sambutan bertemakan Persekitaran Lestari Pemacu Malaysia MADANI itu, tujuh PBT telah diumumkan sebagai juara bagi setiap kempen tersebut.
Kempen Premis Makanan Bersih 2024 menyaksikan Majlis Perbandaran Temerloh telah muncul sebagai juara, Pasar Awam Bersih 2024 (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) manakala Tandas Awam PBT BMW 2024 (Majlis Perbandaran Teluk Intan).
Selain itu, Majlis Bandaraya Ipoh muncul sebagai juara bagi Kempen Membasmi Infestasi Tikus 2024, Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar 2024 (Majlis Daerah Sabak Bernam), Kempen Cegah Wabak Denggi 2024 (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), manakala Kempen Membasmi Hotspot Denggi 2024 dimenangi Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Sumber: Bernama
Comentários