BANGI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM8.24 juta kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi program Sentuhan Kasih Sayang bagi melaksanakan enam projek untuk kesejahteraan rakyat dengan segera.
MPKj menerima peruntukan sebanyak RM7.94 juta manakala MBSJ menerima RM300,000.
Daripada enam projek tersebut, tiga melibatkan kerja-kerja kecemasan pembaikan cerun di Taman Sri Raya, Cheras; Taman Bukit Mewah, Kajang; dan Jalan Legenda di Taman Legenda di daerah Hulu Langat. Tiga projek lain adalah kerja-kerja membaiki jalan dan menaik taraf Taman Tasik Cempaka, membaik pulih Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan dan membina serta menyiapkan pejabat pengurusan, tandas awam, tempat pembuangan sampah dan struktur berbumbung di tapak Laman Niaga Komuniti di Sungai Long.
"Peruntukan yang diluluskan ini merupakan peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan."
KPKT telah membelanjakan hampir RM700 juta bagi program Sentuhan Kasih Sayang dalam tempoh enam bulan di sembilan negeri antaranya Johor, Perak dan Melaka.
Program itu memberi fokus kepada projek berimpak tinggi serta infrastruktur asas yang dekat di hati rakyat antaranya pasar awam, tandas awam, lampu jalan, longkang serta penurapan jalan.
Sumber: Astro Awani
KPKT peruntuk RM8.24 juta kepada MPKj, MBSJ laksana enam projek segera
Comments