top of page

KPKT kutip kompaun RM77,947


Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Sebanyak 871 kes penyalahgunaan kemudahan orang kurang upaya (OKU) direkodkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun lalu dengan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM77,947.


Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bagi memastikan penguatkuasaan yang tegas terhadap penyalahgunaan kemudahan OKU khususnya tempat letak kereta, pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan tindakan berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1987.


Katanya, PBT juga mengenakan kompaun atau denda terhadap kesalahan itu berpandukan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).


"Ini membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU tidak disalahgunakan.


"Perlu saya nyatakan juga di sini bahawa adalah kritikal untuk jumlah sebenar OKU dilaporkan dengan tepat.


"Hanya dengan data yang komprehensif, KPKT bersama pihak berkuasa negeri (PBN) dan PBT dapat merancang serta menyediakan kemudahan khusus yang diperlukan oleh golongan OKU," katanya menerusi kenyataan kepada Harian Metro, baru-baru ini.


Dalam pada itu, katanya, KPKT konsisten mengadakan sesi libat urus dengan penganjuran kursus khusus berkaitan OKU bagi peserta dalam kalangan PBT setiap tahun untuk memastikan pembangunan baharu mematuhi keperluan komuniti terbabit.


"Kursus ini juga menjadi platform bagi peserta untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan cabaran semasa yang melibatkan keperluan OKU serta mencari kaedah penyelesaian terbaik.


"Dalam usaha ini, KPKT turut melibatkan pakar dari sektor perundingan pembinaan seperti arkitek reka bentuk serta mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan yang mewakili komuniti OKU," katanya.


Menurutnya, KPKT mengambil pendekatan menyeluruh dalam penyediaan bajet pembangunan kepada PBT bagi setiap projek pembinaan dan menaik taraf infrastruktur kemudahan awam.


Ahli Parlimen Sepang itu berkata, salah satu objektif utama dalam setiap projek adalah memastikan penyediaan kemudahan mesra OKU.


"Ia selaras dengan komitmen kementerian untuk membangunkan persekitaran yang inklusif dan mudah diakses oleh semua golongan masyarakat termasuk OKU," katanya.


Ruang penambahbaikan masih ada

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui kemudahan infrastruktur untuk orang kurang upaya (OKU) di negara ini masih ada ruang untuk penambahbaikan.


Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, KPKT sentiasa komited dalam memastikan keperluan golongan OKU diambil kira dalam setiap pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang dibangunkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).


"Kami percaya bahawa setiap rakyat termasuk golongan OKU berhak untuk menikmati persekitaran hidup yang sihat dan selamat.


"Dalam hal ini, semua PBT bertanggungjawab untuk memastikan bangunan dan tempat awam yang dibangunkan dan diselia memenuhi keperluan infrastruktur mesra OKU dan warga emas sebagaimana ditetapkan dalam Seksyen 34A, Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984).


"Ini adalah langkah penting untuk memastikan aksesibiliti dan keselesaan bagi golongan OKU," katanya menerusi kenyataan kepada Harian Metro, baru-baru ini.


Menurutnya, sebagai usaha berterusan, kementerian juga memperuntukkan dana khusus untuk menaik taraf kemudahan awam termasuk meningkatkan aksesibiliti OKU melalui projek pembangunan BP.1 yang melibatkan sosioekonomi masyarakat.


"Kami komited untuk memastikan semua infrastruktur yang dinaik taraf mematuhi piawaian Reka Bentuk Sejagat MS1184:2014 (Universal Design) yang merangkumi pemasangan jubin pandu arah, kelebaran minimum laluan pejalan kaki, ruang menunggu untuk kerusi roda, tanjakan untuk laluan kerusi roda dan tanda arah yang jelas.


"Dengan langkah ini, kementerian yakin bahawa infrastruktur di Malaysia akan terus berkembang ke arah yang lebih inklusif dan mesra OKU selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara yang inklusif dan prihatin terhadap semua golongan masyarakat," katanya.


Beliau berkata, KPKT secara holistik menyediakan bajet pembangunan kepada PBT untuk memastikan bahawa elemen Reka Bentuk Sejagat MS1184:2014 (Universal Design) diberi perhatian dan dilaksanakan dalam setiap projek pembinaan dan menaik taraf kemudahan awam.


"Pendekatan ini bertujuan memastikan keperluan golongan OKU tidak diketepikan dalam usaha memperbaiki kemudahan awam.


"Pada tahun 2023, sebanyak RM430,000 diperuntukkan kepada empat PBT yang memohon bantuan kewangan untuk menaik taraf kemudahan OKU iaitu Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Perbandaran Kulim, Majlis Daerah Kuala Pilah dan Majlis Daerah Hulu Terengganu.


"Setiap PBT ini mengemukakan permohonan lengkap dengan anggaran kos kepada KPKT untuk semakan dan penelitian, memastikan bahawa skop keperluan dan peruntukan dipenuhi dengan sebaik mungkin," katanya.


Beliau berkata, menerusi usaha itu, KPKT tekad untuk terus menyokong dan memperbaiki kemudahan OKU di seluruh negara selaras dengan matlamat untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif dan mesra golongan terbabit.


"Dalam tempoh tiga tahun ini, kementerian meluluskan beberapa projek pembangunan yang melibatkan pelbagai kemudahan awam seperti pembinaan pasar awam, medan selera, tandas awam dan taman awam.


"Semua projek ini turut merangkumi usaha menaik taraf kemudahan dan aksesibiliti bagi golongan OKU," katanya.


Sumber: Harian Metro

4 views

Commenti


bottom of page