Setiu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 38,500 liter diesel di sebuah tapak Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu, Kampung Mangkuk di sini, semalam.
Dalam serbuan pada 6 petang semalam itu, KPDN turut merampas dua lori dan dua tangki skid membabitkan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM982,035.
Pengarah KPDN Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan itu dilakukan oleh 12 pegawai penguat kuasa agensi itu bersama 11 pegawai dan anggota polis hasil risikan yang dilakukan selama dua minggu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati pihak syarikat yang mengendalikan projek berkenaan mempunyai permit yang sah daripada pengawal bekalan untuk menyimpan diesel terbabit.
Bagaimanapun, katanya, hasil semakan pada permit berkenaan mendapati tempat simpanan yang tertera pada permit itu bukanlah beralamat di lokasi itu.
"Pemegang permit disyaki memindahkan barang kawalan dari satu tempat yang dilesenkan ke suatu tempat yang tidak berlesen atau diluluskan oleh pengawal bekalan.
"Pemegang permit berkenaan turut disyaki mempunyai dalam milikan diesel yang melebihi daripada had kuantiti yang dibenarkan di dalam permit.
"Dianggarkan terdapat kira-kira 23,000 liter diesel berada di dalam lori tangki dan 15,500 liter minyak diesel lagi di dalam kedua tangki skid yang ditempatkan di tapak projek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Saharuddin berkata, dua lelaki tempatan disyaki pengurus tapak projek dan pemandu lori berusia 35 dan 36 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi," katanya.
Sumber: Harian Metro
Commenti