KUALA LUMPUR 1 Nov - Lebuhraya Span Ipoh Barat yang meliputi Gopeng ke Kuala Kangsar kini menelan kos RM6.2 bilion berbading dengan kos yang ditetapkan dahulu iaitu, RM5.75 bilion, kata syarikat konsesi projek itu, East Coast Road Sdn Bhd (ECRSB).
Pengarah ECRSB, Any Arope Zainal Abidin berkata, kos baharu itu kekal sebagai anggaran awal dan mungkin tertakluk kepada perubahan selanjutnya.
Perjanjian konsesi 55 tahun untuk lebuh raya itu dimeterai antara kerajaan dan ECRSB pada September 2024.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menekankan, kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos bagi projek itu semasa penyerahan perjanjian konsesi kepada wakil ECRSB pada Rabu.
“Pembiayaan kos pembangunan dan kelulusan daripada kerajaan negeri Perak adalah antara syarat yang perlu dipenuhi oleh syarikat .
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak seperti institusi kewangan negeri Perak, PBT dan lain-lain untuk memberikan sokongan dan kerjasama yang sewajarnya bagi menjayakan projek ini demi kepentingan dan manfaat rakyat,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kerja-kerja pembinaan projek itu akan mengambil masa selama empat tahun yang bermula apabila ECRSB memenuhi syarat bagi mendapatkan kelulusan.
Semakan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa ECRSB dimiliki 52.84% oleh Any Arope, Zurich Headquarter Sdn Bhd (22.78%), Zurich Capital Sdn Bhd (13.67%) dan Ahmad Sahill Zainal Abidin (10.7%).
Nanta berkata, kadar tol bagi lebuhraya itu ditetapkan pada 23 sen per kilometer sepanjang tempoh konsesi 55 tahun, termasuk tempoh pembinaan empat tahun.
"Kaedah penetapan kadar tol ini adalah unik kerana ia adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan memastikan pengguna lebuh raya mendapat manfaat kerana tidak akan ada peningkatan dalam perbelanjaan rakyat untuk jangka masa yang panjang,” ulasnya.
Menurut laman web Wise, lebuh raya itu dijangka menggunakan sistem tol aliran bebas berbilang lorong (MLFF).
Nanta berkata Wise dijangka mengurangkan kesesakan di sepanjang lebuh raya berhampiran sebanyak 40%.
“Wise menyediakan laluan alternatif kepada pengguna Terowong Menora, yang menghadapi kesesakan akibat bilangan kenderaan berat yang tinggi.
“Ini berdasarkan profil berbukit dan bentuk muka bumi di kawasan Gopeng-Kuala Kangsar, Lebuhraya PLUS yang memperlahankan pergerakan kenderaan berat dan seterusnya menjejaskan aliran trafik terutama pada waktu puncak,” katanya.
Sumber: Dagang News
Comments