BEIJING: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dikurangkan lagi.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, pengurangan kos itu bergantung kepada skop kerja pelaksanaan projek berkenaan.
“Kita mengambil maklum keikhlasan China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia sehingga sanggup berbincang semula berhubung projek ECRL.
“Mereka bersetuju mengurangkan kos (pembinaan ECRL). Mereka amat memahami dan sensitif dengan masalah yang kita hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerjanya selama lima hari di China bagi menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan akan mendedahkan perincian kontrak ECRL, Dr Mahathir berkata, perkara itu boleh dilakukan walaupun pelbagai perkara sudah didedahkan.
“Kita juga perlu mengambil maklum perkara sensitif terhadap China,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) adalah rancangan pembangunan bersama negara anggota dan bukan strategi yang hanya didominasi oleh China.
Mengulas sama ada inisiatif itu akan memberi ancaman kepada kedaulatan negara atau perangkap hutang, Perdana Menteri menjelaskan dasar itu dibuat oleh semua negara anggota dan bukan hanya China.
Beliau bagaimanapun mengakui pada awalnya wujud kebimbangan berhubung pelan yang diilhamkan Presiden republik berkenaan, Xi Jinping untuk mengawal Asia melalui laluan perdagangan seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan.
“Wujud perasaan takut akan berlaku dominasi, kapal perang dan pergerakan kita akan disekat. Tetapi pada forum BRF, saya melihat pelan kerjasama yang membolehkan negara anggota terutama negara membangun bekerjasama membina infrastruktur dan memperoleh pinjaman kewangan.
“Bukan sekadar negara ASEAN yang menyertainya, malah hampir seluruh dunia termasuk Amerika Selatan, Afrika dan Jerman. Britain turut menghantar Canselor Exchequer negara berkenaan ke BRF.
“Semua negara anggota duduk bersama dan berbincang mengenai apa yang diperlukan.
Negara yang memiliki populasi seramai 300,000 penduduk boleh duduk bersama China yang memiliki seramai 1.4 bilion rakyat.
“Memahami apa sebenarnya BRI memudahkan kita untuk memberi sokongan,” katanya.
Perdana Menteri turut melahirkan keyakinannya terhadap BRI selain menyifatkan inisiatif itu berbeza dengan pelan yang dicadangkan oleh negara membangun lain.
“Mereka mahu membina negara tanpa sempadan, perdagangan bebas, TPP (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik)...kemudian mereka minta kita menerimanya. Tetapi bukan ini (BRI),” katanya.
Mengulas dakwaan sesetengah negara Barat kononnya inisiatif terbabit menjadi perangkap hutang kepada negara membangun, Dr Mahathir berkata, masalah itu hanya akan menimpa negara yang melakukan pinjaman dengan banyak.
“Mereka tidak mampu bayar (pinjaman) dan kemudian kehilangan projek berkenaan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments