top of page

Kontraktor tiada keupayaan diberi projek Lahad Datu Bypass


LAHAD Datu Bypass. FOTO Sabah Pan Borneo Highway Youtube

KUALA LUMPUR: Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah (LPBS) bagi Jajaran Lahad Datu Bypass tidak mencapai objektif yang ditetapkan berikutan penawaran tender terhad kepada 10 syarikat yang tidak memenuhi kriteria pemilihan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, perkara itu secara keseluruhannya telah menjejaskan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) Rakan Pelaksana Projek (PDP) dalam aspek tempoh penyiapan projek itu.


"… kontraktor yang tidak berkeupayaan telah dipilih, tindakan tidak diambil walaupun kontraktor tidak mematuhi syarat kontrak, terdapat isu pengambilan balik tanah yang tidak selesai dan pemantauan yang kurang berkesan.


"Prestasi fizikal keseluruhan projek LPBS bagi 11 WP (pakej kerja) semasa tarikh penamatan perkhidmatan PDP pada 21 Sept 2019 adalah 12.8 peratus berbanding 41.9 peratus yang dirancang, iaitu lewat 29.1 peratus," menurut dapatan audit terhadap Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.


Bagi prestasi Jajaran Lahad Datu Bypass pula hanya mencapai 37.4 peratus berbanding jadual sebanyak 45.7 peratus iaitu lewat jadual sebanyak 8.3 peratus semasa PDP ditamatkan pada 21 Sept 2019.


Bagaimanapun, prestasi keputusan projek LPBS dan Jajaran Lahad Datu Bypass belum dapat dinilai kerana belum disiapkan setakat 31 Dis 2019.


Laporan itu mengesyorkan KKR untuk memilih kontraktor yang belum ditawarkan pakej kerja dan menepati kriteria pemilihan ditetapkan seperti berkemampuan dari segi kewangan, keupayaan teknikal, pemilikan jentera dan mesin serta berpengalaman dalam kerja pembinaan berkaitan jalan raya.


Selain itu, KKR, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah perlu merangka pelan penyelesaian supaya urusan pengambilan balik tanah seperti hak milik, pampasan dan isu berkaitan tanah diselesaikan berdasarkan Seksyen 3 Ordinan Pengambilan Tanah sebelum pemilihan kontraktor.


"JKR Sabah sebagai Pegawai Penguasa selepas Projek LPBS diambil alih pada bulan Disember 2019 perlu mengkaji, mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap kontraktor untuk mengatasi punca kelewatan pelaksanaan kerja di tapak.


"Tindakan hendaklah diambil berdasarkan kontrak terhadap punca kelewatan yang dikenal pasti seperti kekurangan mesin, kekurangan pekerja, tidak mematuhi program kerja dan tidak memberi maklum balas kepada notis bertulis.


"Selain itu, KKR hendaklah menambah baik proses bayaran agar kontraktor dapat dibayar dalam tempoh yang ditetapkan bagi melancarkan pelaksanaan projek dan tidak menjejaskan aliran kewangan kontraktor," menurut laporan itu. – BERNAMA


Comentários


bottom of page