KUALA LUMPUR: Guild of Bumiputra Contractors Berhad (Wibawa) senada dengan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berhubung kepentingan melibatkan kontraktor tempatan khususnya Bumiputera dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen A.
Pengerusinya, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata, peluang seumpama itu saling tidak ubah seperti satu harapan besar dalam kalangan kontraktor Bumiputera yang mahu turut serta dalam membangunkan infrastruktur kereta api yang melalui tiga negeri Pantai Timur sebelum dihubungkan dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Bagaimanapun, dalam masa sama, Md Nasir tidak senang dengan sikap segelintir institusi kewangan yang seolah-olah menidakkan pinjaman kredit kepada kontraktor terutamanya golongan Bumiputera.
Kata beliau, tidak dinafikan isu pandemik COVID-19 memberikan impak dalam semua industri dan sektor di Malaysia, namun adalah tidak adil bagi segelintir institusi perbankan dalam memberi penilaian berbeza terhadap aktiviti ekonomi Bumiputera.
“Seperti ada kebimbangan jika pinjaman kredit yang diberikan gagal dilunaskan ketika negara sedang mengalamai pandemik global ini.
“Harus diketahui umum, sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), para kontraktor mengalami kerugian yang memaksa syarikat mengeluarkan aliran tunai untuk menampung sewaan fasiliti di tapak projek yang terpaksa dihenti tugas.
“Oleh demikian, dalam membuat pusingan modal untuk menjalankan semula sesetengah projek adalah amat penting pihak bank memudahkan atau melonggarkan syarat yang sedia ada dalam membantu para kontraktor,” kata Md Nasir dalam kenyataan yang diedarkan pada Khamis.
Apa yang turut dikesalkan Md Nasir juga ialah, melihat pada krisis kesihatan global dan ketidakstabilan ekonomi, pihak bank seolah-olah tidak begitu yakin dengan kemampuan syarikat Bumiputera sekalipun golongan ini mempunyai latar belakang yang kukuh.
“Syarikat Bumiputera ini juga memiliki kemampuan menjalankan projek-projek khususnya dalam projek-projek kerajaan.
“Persoalannya adakah segelintir institusi kewangan dalam negara ini yang begitu skeptikal terhadap ekonomi Bumiputera terutama apabila isu COVID-19 melanda di negara ini,” soal beliau lagi.
Md Nasir dalam masa sama, mempersoalkan di mana peranan institusi kewangan khususnya berhubung tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam membantu golongan kontraktor Bumiputera.
Memberikan contoh, apabila kerajaan Persekutuan meluluskan pelaksanaan Seksyen A ECRL, para kontraktor tentu sekali mahu mengambil peluang tersebut dan menjadikan bank sebagai sandaran untuk mendapatkan dana.
“Namun (kerana) skeptikal melihat golongan Bumiputera mungkin menyukarkan kelulusan pinjaman walaupun pada dasarnya pemilik projek mega itu telah menilai teliti dari segi latar belakang syarikat terutamanya dari segi kewangan dan fasiliti,” jelas beliau lagi.
Md Nasir turut menarik perhatian bagaiman institusi kewangan masih menjana keuntungan di sebalik sebilangan besar industry dan sektor yang amat terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.
“Pada ketika ini (krisis kesihatan), mereka (bank) perlu melonggarkan terma dan syarat sedia ada untuk memudahkan pinjaman dalam membantu syarikat untuk kembali pulih.
“Pada masa sama kembali menstabilkan ekonomi negara. Tidak perlu meanaktirikan syarikat Bumiputera yang sememangnya mempunyai kelayakan untuk memohon pinjaman,” ujar beliau lagi.
Sumber: Astro Awani
Comments