top of page

Kontraktor tak cukup duit antara faktor projek sakit di Sarawak


Gambar hiasan

KOTA SAMARAHAN: Masalah kewangan dihadapi kontraktor dikesan antara faktor utama menyebabkan 11 projek Persekutuan dikenal pasti sebagai projek sakit di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ada antara projek terbabit gagal disiapkan selepas ia diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).


Beliau berkata, lima daripada 11 projek sakit itu dikenal pasti berpunca kegagalan kontraktor yang menghadapi masalah kewangan.


Berikutan itu katanya, kerajaan mengambil tindakan tegas menamatkan kontrak mereka dan menawarkan tender baharu kepada kontraktor penyelamat untuk menyiapkan projek terbabit.

"Hari ini kita membincangkan bagaimana hendak menentukan hala tuju projek sakit itu kerana ada yang dapat diselamatkan dan dapat disiapkan.


"Tetapi ada yang terpaksa dirujuk kepada jawatankuasa untuk dibincangkan untuk dapat hala tuju sama ada projek akan ditamatkan dan ditender semula untuk kita melantik kontraktor penyelamat," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Status Pelaksanaan Projek/Program Pembangunan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Fadillah berkata, projek sakit itu membabitkan projek di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).


"Projek sakit yang lain disebabkan pelbagai masalah iaitu tiga daripadanya kelewatan pelaksanaan apabila negara dilanda COVID-19 pada 2019 yang menyebabkan projek dihentikan selama dua tahun.


"Selain itu, masing-masing satu projek disebabkan masalah reka bentuk, masalah utiliti apabila belum menerima bekalan elektrik dan dalam prapelaksanaan," katanya.


Bagi projek yang terpaksa diubah skop atau mengalami peningkatan kos selepas diluluskan sebelum COVID-19 melanda, Fadillah berkata, kerajaan akan menilainya semula.


"Kemungkinan kita terpaksa menangguhkan pelaksanaannya sehingga Rancangan Malaysia yang seterusnya.


"Peruntukan yang ada (yang diluluskan pada 2019) itu akan digunakan untuk menyiapkan projek yang boleh disiapkan," katanya.


Mengenai penambahbaikan untuk menangani isu projek sakit, Fadillah berkata, mesyuarat itu mengarahkan agensi pelaksana untuk sentiasa mengemaskini status projek serta memantau secara dekat pelaksanaannya.


"Jika kontraktor menghadapi masalah kekurangan pekerja, kita kena berbincang kaedah bagaimana kita boleh saling membantu antara agensi persekutuan dan negeri untuk mengatasinya," katanya.


Mengenai pembinaan Hospital Petra Jaya yang bermula sejak 2013, Fadillah berkata, projek berkenaan dijangka disiapkan sepenuhnya tahun depan.


"Pembinaan fizikal hospital itu sudah hampir selesai cuma sekarang ini dalam proses peralihan untuk memasukkan peralatan dan boleh beroperasi apabila aspek kepakaran, jumlah doktor dan sebagainya dilengkapkan," katanya.


Projek Hospital Petra Jaya dengan kos RM410 juta itu bermula pada 2013 dan sebelum ini ia dijadualkan siap pada November 2016, namun kontraktor asal gagal menyiapkannya.


Pada Oktober 2021, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan projek hospital yang mempunyai kapasiti 300 katil itu diambil alih oleh kontraktor penyelamat dan JKR diarah memantau rapi untuk memastikan ianya dapat disiapkan pada penghujung tahun ini.


Comments


bottom of page