KOTA KINABALU - Kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek tidak dapat diselamatkan antara dikenal pasti punca kelewatan projek pembangunan asas di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, paling banyak yang bermasalah adalah daripada projek penggunaan asas termasuk bekalan air luar bandar, jalan luar bandar dan sekolah.
"Ada juga masalah di mana kontraktor memang tidak dapat diselamatkan, ada insiden kontraktor penyelamat dilantik tapi itu pun tidak selamat, dia tidak siap (projek) jadi kita kena selamatkan kontraktor penyiap.
"Jadi ini salah satu masalah yang kita kena hadapi dan yang masalah kedua bila projek ini tidak siap, bila kita nak buat baru lanjutan masa dan lantikan baru, ia melibatkan kos tambahan.
"Jadi bila kos tambahan, bajet yang sedia ada tak cukup, kita kena minta notis perubahan kepada Kementerian Ekonomi dan kadang-kadang peruntukan ini tiada, nak cari mana di mana peruntukan, ini memakan masa," katanya.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, itu antara cabaran bagi kerajaan untuk melaksanakan projek di negeri ini.
"Sebab itu tumpuan pada tahun depan ialah untuk kita pastikan seminimum mungkin untuk elakkan berlakunya kelewatan siapnya projek sebab kalau lewat makannya kos tambahan akan berlaku.
"Jadi projek yang betul-betul sudah bersedia, reka bentuk tersedia, tiada masalah tanah dan sebagainya untuk kita kurangkan berlaku notis perubahan tersebut," katanya.
Sehubungan itu, dalam mesyuarat yang dihadirinya telah memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi memastikan projek berjalan lancar.
"Apa yang kita putuskan pagi tadi ialah menubuhkan jawatankuasa pemantau di mana saya minta Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Sabah dan dipantau oleh Pejabat Setiausaha Kajian Bersama dengan Persekutuan," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comentarios