top of page

Kontraktor penyelamat ambil alih Projek Jambatan Batang Rambungan: Uggah


Uggah (empat kiri) merakamkan kenangan di tapak Projek Jambatan Batang Rambungan, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melantik kontraktor penyelamat bagi mengambil alih Projek Jambatan Batang Rambungan di Lundu yang dikategorikan sebagai projek sakit.


Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kontraktor penyelamat dilantik Titanium Project Management Sdn Bhd telah mengambil alih projek itu pada 19 November lepas.


Justeru katanya, beliau bersama Timbalannya Datuk Ir Aidel Lariwoo hari ini turun padang ke tapak projek bagi melihat perkembangan projek itu selepas diambil alih oleh kontraktor penyelamat.


"Kita ada peraturan baharu di mana selepas sebulan projek diambil alih kontraktor penyelamat mesti ada perkembangan.


"Jika tidak, kita boleh tarik balik kontrak. Itu peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Premier.


"Sekarang kita telah melantik Titanium Project Management Sdn Bhd sebagai kontraktor penyelamat dan kita berharap sebagai kontraktor berpengalaman dalam membina jambatan, mereka dapat siapkan," ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media semasa turun padang meninjau perkembangan projek itu, hari ini.


Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menambah, lantikan kontraktor penyelamat dibuat menerusi tender terbuka hanya kepada kontraktor penyelamat.


Katanya, untuk melantik kontraktor penyelamat, syarikat mesti berdaftar sebagai kontraktor penyelamat.


"Kos adalah RM82 juta dan tempoh projek adalah 30 bulan, tetapi mereka (kontraktor) berjanji akan menyiapkan dalam masa 24 bulan.


"Kalau dapat 18 bulan sebab ini sudah lama, rakyat sudah binggung mengapa jambatan lain seperti Batang Lupar berjalan baik tetapi tidak di sini.


"Sebab itu Premier arahkan kita untuk mengeluarkan tender kepada kontraktor barhau dan kita berharap kontraktor ini dapat menyiapkannya dalam tempoh 18 hingga 24 bulan," kata Uggah.


Sumber: Utusan Borneo

Comments


bottom of page