KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) meminta pengagihan projek kerajaan dilakukan secara cabut undi bagi mempercepatkan lagi proses.
Susulan pengumuman kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran bagi kaedah perolehan kerja bagi semua projek kecil semalam, Presiden PERKOBF, Tukiman Radion berkata, sekiranya kontraktor kecil diberikan projek daripada kerajaan secara cabutan undi, projek akan dapat disiapkan dengan pantas berbanding menggunakan kaedah sebut harga yang dilakukan seperti sebelum ini.
"Selain itu, kontraktor kecil juga akan dapat merancakkan ekonomi setempat apabila mereka membeli barangan pembinaan selepas dibayar atas hasil kerja mereka," katanya ketika ditemui di Pejabat PERKOBF Malaysia hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini, di Melaka dan Johor cabutan undi tidak dilakukan kerana projek di bawah kerajaan negeri tersebut dianugerahkan secara konsesi.
"Akibatnya kontraktor kecil tidak akan mendapat projek di bawah kerajaan. Kelemahan konsesi ini adalah harganya yang kurang baik dan daripada segi pembayaran pula ia agak lambat.
"Dengan pengumuman Kementerian Kewangan semalam, saya harap kedua-dua negeri ini dapat turut serta untuk memberikan projek menggunakan proses cabut undi pada masa hadapan," katanya.
Katanya dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan itu, ramai kontraktor kecil yang tiada projek dapat dibantu.
Bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh kontraktor selepas pandemik COVID-19 juga dapat diringankan.
"Siapkanlah projek dengan kualiti yang baik dan mengikut masa yang sudah dipersetujui. Jangan serahkan projek ini kepada pihak ketiga sehinggakan kontraktor tidak turun ke lapangan dan tidak mempunyai pengetahuan terhadap projek yang dijalankan.
"Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Bila sudah dapat projek, buatlah sendiri," katanya.
Semalam BH melaporkan kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran bagi kaedah perolehan kerja bagi semua projek kecil termasuk pengecualian terhadap Arahan Perbendaharaan (AP) 182 kepada semua Kementerian/Agensi Pelaksana sehingga di peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
Menurutnya, semua projek Kerajaan Persekutuan merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan bernilai RM1 juta boleh dilaksanakan terus oleh kementerian dan agensi berkenaan termasuk di peringkat negeri/daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknik termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sementara itu, Tukiman juga menggesa kerajaan tidak lagi membuka pendaftaran bagi kontraktor kelas F kerana sudah mempunyai ahli yang terlalu ramai.
"Sebelum ini kita mempunyai 24,000 ahli sebelum pendaftaran dibuka, kini kita ada 60,000 orang kontraktor. Apabila ahli terlalu ramai akan ada kontraktor yang tidak akan mendapat projek langsung.
"Bila tidak ada projek mereka juga tidak mempunyai simpanan untuk memperbaharui lesen iaitu sebanyak RM10,000perkara ini akan memberi kesukaran keapada kontraktor kecil," katanya.
Sumber: Berita Harian
Kontraktor kecil minta projek diagihkan secara undian
Comments