KOTA BHARU: Kumpulan kontraktor Bumiputera yang menanggung kerugian besar apabila pelbagai projek diluluskan menerusi Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) sebelum ini dibatalkan untuk ditender semula mahu mereka diberi peluang untuk menyertai tender semula.
Ia berikutan mereka mendakwa kontraktor yang sebelum ini terbabit menerusi program Jana Wibawa itu sudah disenarai hitam daripada menyertai tender yang akan dibuka nanti bagi projek berkenaan.
Kontraktor yang mahu dikenali sebagai Ismail, 52, berkata dia antara kontraktor yang menanggung kerugian akibat projek terbabit ditender semula.
"Saya sebelum ini sudah melabur lebih RM100,000 bagi menyertai tender untuk projek pembinaan jalan di kawasan luar bandar.
"Namun susulan perubahan kerajaan, pada mulanya kami mendapat maklumat secara tidak rasmi projek itu ditangguh dan yang terakhir kami mendapat maklumat kesemua projek akan ditender semula.
"Malah lebih menyedihkan, kami yang sudah menyertai tender sebelum ini dikatakan tidak dibenarkan untuk menyertai tender yang akan dibuka nanti," katanya kepada BH.
Ismail berkata, beliau tidak tahu sejauh mana kesahihan maklumat berkenaan namun yang pasti mereka sudah menanggung kerugian besar.
Rakannya yang mahu dikenali Fahmi, 56, turut mengharapkan supaya kerajaan memberi peluang kepada mereka untuk menyertai tender semula.
"Bayangkan sebelum ini kita sudah menyediakan segala dokumen dan mengeluarkan perbelanjaan untuk melantik termasuk jurutera dan juruukur, namun duit habis lesap begitu saja.
"Kami tidak tahu bagaimana kaedah tender yang akan dibuka nanti, namun kami hanya berharap kerajaan memberi peluang untuk kami bersaing pada tender akan datang," katanya yang sebelum ini mengeluarkan modal hampir RM90,000 untuk projek pembinaan jalan.
Terdahulu, lebih 1,000 kontraktor Bumiputera terpaksa berputih mata dan menanggung kerugian besar apabila pelbagai projek diluluskan menerusi Program Jana Wibawa sebelum ini dibatalkan untuk ditender semula.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 100 projek yang kebanyakan membabitkan tender terhad menerusi Program Jana Wibawa bernilai bilion ringgit akan dibuka untuk tender semula, biarpun kontraktor sebelum ini sudah membuat pelaburan besar, termasuk melantik jururunding bertauliah untuk menyelia projek itu.
Kebanyakan projek itu membabitkan pembinaan jalan di luar bandar dan projek tebatan banjir. Kontraktor terbabit juga mendakwa mengalami kerugian besar kerana sudah melantik arkitek, jurutera, juruukur bahan dan juruukur tanah untuk menyiapkan dokumen tender projek itu, dengan bayaran yang sudah dilunaskan sepenuhnya.
Sumber: Berita Harian
Comments