KUALA LUMPUR: Kontraktor pembinaan kondominium dekat Bandar Baru Sentul di sini, disyaki gagal mematuhi prosedur operasi (SOP) pengendalian kren di tapak projek terbabit, menyebabkan ia tumbang menghempap kediaman dan kenderaan berdekatan, petang kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Husdin Che Amat, berkata mengikut prosedur, plat keluli harus digunakan pada tapak kren yang dikendalikan.
Namun, katanya, berdasarkan gambar kejadian kren tumbang itu, pihaknya melihat tiada plat keluli berkenaan.
“Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan. Semua majikan patutnya sudah tahu mengenai penggunaan plat keluli itu kerana ia adalah prosedur biasa,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, empat individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, cedera selepas sebuah kren berantai di tapak projek pembinaan kondominium di Bandar Baru Sentul tumbang.
Kren terbabit dilaporkan menghempap tiga rumah dan dua kereta, sekali gus menghalang laluan jalan raya di lokasi terbabit.
Mengulas lanjut, Husdin memaklumkan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sudah menemu bual pemandu kren terbabit, seorang warga tempatan dan memiliki lesen yang sedang bekerja di lokasi ketika kejadian berlaku.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, majikan harus melakukan penilaian risiko dan bertanggungjawab memastikan pelaksanaan cara kerja yang selamat.
“Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.
Sementara itu, penduduk di kawasan terbabit menyuarakan perasaan hairan kerana mendakwa kerja pembinaan di tapak projek berkenaan dilakukan, termasuk melihat lori keluar masuk, hingga lewat malam.
Penduduk, Mohd Syafiq Ghazali, 30, mendakwa beliau menyaksikan sendiri perkara itu dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku kerana berdekatan kawasan perumahan.
“Ketika itu, penduduk tidaklah berasa risau kerana fikir tiada perkara buruk akan berlaku.
“Namun selepas kejadian kren tumbang ini, pihak kontraktor harus lebih peka terhadap cara kerja selamat,” katanya ketika ditemui BH, semalam.
Sementara itu, Yunita Jefri, 34, ibu kepada bayi yang cedera dalam kejadian berkenaan pula memaklumkan, anaknya selesai menjalani pembedahan di bahagian kaki di Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Yunita yang juga peniaga air kelapa berkata, bayinya dikenali sebagai Mohd Raihan Anik Mutarom kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan selesai kira-kira jam 3.30 petang tetapi masih belum sedarkan diri.
“Anak saya baru saja keluar dari bilik pembedahan membabitkan bahagian kaki, termasuk disimen, manakala kepalanya juga terpaksa dijahit,” katanya.
Sebelum kejadian, Yunita berkata, beliau baru pulang dari kerja dan berbual dengan jiran di luar rumah sambil mendukung bayinya itu.
Beliau berkata, jiran kemudian mendukung Mohd Raihan dan membawa bayi itu masuk ke rumahnya, manakala beliau pulang ke kediaman sendiri.
“Namun, saya terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat rumah jiran sudah ‘terbelah dua’ akibat dihempap kren terbabit.
“Ketika itu, saya sangat bingung sebelum melihat suami bergegas mengambil anak tersekat di bawah runtuhan zink,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments